Selasa, 6 Mei 2014

Mohd Yacoob Berhasrat Tanding PRK Bukit Gelugor

alt
 
RAKYATNEWS
 
 
KUALA LUMPUR -  Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mohd Yacoob Mohd Noor menyatakan hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor 25 Mei ini.
 
Menurut Mohd Yaacob, setelah mengadakan mesyuarat bersama penyokongnya, maka keputusan (bertanding) diambil walaupun dia tewas pada PRU13 lalu.
 
"Walaupun kalah pada pilihan raya umum lepas tetapi semangat memang berkobar-kobar. Saya juga sudah beberapa kali buat program 'himpunan rakyat' sendiri dan berdasarkan pemerhatian, ramai orang mulai menyokong saya dan kami juga telah mempersiapkan jentera pilihan raya bagi tujuan berkempen," katanya yang kini menguruskan rangkaian inap desa di Pulau Pinang.
 
Pada PRU13, Mohd Yacoob hanya memperoleh 141 undi dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Sungai Pinang yang dimenangi calon DAP, Lim Siew Khim dengan 12,354 undi manakala calon Barisan Nasional, Looi Swee Cheang mendapat 7,647 undi. 
 
Tambahnya, beberapa syarikat telah bersetuju untuk menaja bahan kempennya dan akan mendapatkan dana daripada hasil jalan cenderahati yang dilakukan penyokongnya bagi menampung kos pilihan raya kecil ini.
 
"Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada penduduk di kawasan Bukit Gelugor, mereka memberi sokongan kepada saya. Saya menggunakan slogan 'Yaacob Bebas Demi Rakyat'," katanya.
 
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas. 
 
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon, pengundian awal 21 Mei dan hari mengundi 25 Mei.

Tiada ulasan: