Jumaat, 23 Mei 2014

Tentera siber PAS beri dalil calon Islam tolak hudud wajib disokong

Oleh Wan Anis Ilyani bt Wan Mohammad Azhar
 
 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM : Gara-gara semakin terdesak untuk memastikan ahli-ahli PAS dan umat Islam mengundi Dyana Sofya Mohd Daud walaupun jelas calon PRK Teluk Intan itu menentang hudud, tentera siber PAS hari ini tampil membentangkan dalil-dalil mengapa calon DAP itu wajib diberi sokongan.  
 
Menerusi aplikasi 'Whatsapp' yang sedang viral pada masa ini, tentera siber PAS memberitahu tiada dosanya mengundi Dyana kerana kononnya yakin bahawa dasar DAP tidak pernah menghalang hudud dilaksanakan.
 
Mesej menggunakan nama Alang Ibn Shukrimun itu berkata, walaupun ada kenyataan yang menentang hukum hudud oleh DAP namun ia datang daripada pandangan peribadi ahli-ahli parti.
 
Sebaliknya, katanya, menyokong calon Gerakan adalah lebih mudarat kerana parti itu lebih lantang dan secara terang-terangan menolak hudud sehingga tidak membenarkan ahli-ahli parlimen dari PAS membentangkan usul persendirian berkenaan hudud di Dewan Rakyat.
 
"Kalau undi DAP, kita boleh melihat bagaimana adilnya mereka menerajui Pulau Pinang. Agama Islam tidak ditindas bahkan mendapat keistimewaan yang tidak dapat di zaman pemerintahan BN. Pulau Pinang dinobat kerajaan paling bersih mengikut laporan audit. Kalau undi Gerakan, semua ini tidak akan berlaku.
 
"Lagi, jika undi DAP, mereka sebahagian PR, dan di sana terdapat PAS yang memperjuang hudud. Sedangkan Gerakan yang berada dalam komponen BN, tiada langsung pejuang hudud. PR berpakat dalam resolusi konvensyen 2011 mahu sama-sama mentadbir dengan saling menghormati dasar parti, sedangkan dalam BN, MCA awal lagi mengugut untuk keluar BN andai UMNO menerima hudud. Mana lebih baik?," demikian dipetik dari mesej tersebut.
 
Antara menyokong Gerakan atau DAP, mesej itu memberi dalil membandingkan antara peperangan kerajaan Rom dan Parsi yang kisahnya diterangkan dalam al-Quran dalam surah Ar-Rum ayat 1-4.
 
"Umat Islam mengharapkan kemenangan Rom. Bukan menyokong kekufuran mereka dan bukan menyokong sisi penentangan meeka terhadap Islam tetapi kerana mereka agak baik jika dibandingkan dengan Parsi.
 
"Jika perjuangan Islam lebih ringandengan menghadapai Rom dibandingkan dengan Parsi, perjuangan PAS pula lebih ringan menghadapi DAP daripada BN," katanya. 
 
Menurut dalil tentera siber PAS lagi, perjuangan menentang kezaliman BN lebih penting sebelum berjuang melaksanakan hudud dan memberi kefahaman kepada DAP mengenai undang-undang Allah itu.
 
"Bagi pengempen pula, jawapannya tidak jauh berbeza. Kita membantu bukan bermaksud menerima mereka, tetapi bantu mereka untuk menumpaskan musuh yang lebih bahaya. Rasulullah memeterai Sulhul Hudaibiah bagi membolehkan beliau berdakwah ke luar tanah arab dengan lebih mudah, bukan kerana redha terhadap kekufuran musyrikin Quraisy.
 
"Selesaikan satu persatu dahulu. Lepas selesai hadap Gerakan/BN, baru kita fikir macamana nak hadap DAP pula.
 
"Terpenting adalah niat. Tanamkan dalam diri, tujuan kita adalah tumbangkan Gerakan. Ini suatu peperangan yang menentukan kelangsungan mereka. Yang bertanding melawan Dyana adalah Presiden Gerakan. Kalau mereka kalah, besar kesannya terhadap BN sekaligus memberi keuntungan besar buat perjuangan Islam," katanya.
 
"Jangan ada niat lain dari itu jika mahukan pahala. Demi Islam," katanya.
 
Pada PRK Teluk Intan yang akan berlangsung 31 Mei ini, Dyana bakal menghadapi saingan daripada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang merupakan seorang anak tempatan dan pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal. 
 
Dyana menjadi pilihan DAP untuk meraih undi Melayu dan meredakan kemarahan mereka terhadap parti itu kerana menentang agenda hudud yang dibawa oleh PAS. 
 
DAP dituduh lidah bercabang kerana menolak usaha PAS itu walapun pada tahun lalu bersetuju PAS boleh meneruskan perjuangan mendirikan negara Islam secara tersendiri.

Tiada ulasan: