SHAH ALAM: Umno-Barisan Nasional (BN) perlu mewujudkan sebuah pasukan
'risikan' di negeri yang gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam
pilihan raya umum, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak),
Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Pasukan atau jawatankuasa khas tersebut katanya sewajarnya berperanan
untuk merisik pelbagai perkara khususya kemungkinan yang bakal berlaku
setelah sesebuah negeri itu memperoleh bilangan kerusi dewan undangan
negeri (DUN) yang kurang memberangsangkan.
Ini kerana kata Aziz, situasi tersebut boleh menjerumuskan BN ke dalam
situasi yang genting sekiranya berlaku krisis kepimpinan seperti yang
berlaku di Terengganu, baru-baru ini.
"Apabila buat satu keputusan untuk menukar katakan pucuk pimpinan iaitu
MB, kita kena ambil kira pelbagai kemungkinan yang akan terjadi.
Termasuk kemungkinan orang boleh 'pindah' menyertai pembangkang dan
menubuhkan kerajaan baru. Ataupun tinggalkan BN, menjadi wakil Bebas
dan kemungkinan undi tidak percaya akan diusulkan dalam dewan
"Saya rasa strategi BN kena ambil kira kemungkinan-kemungkinan ini
sebeblum kita buat keputusan. Hari ini saya rasa pentadbiran pengurusan
parti kena risik dulu apa akan terjadi kalau sekiranya mahu menukar
kepimpinan atau ada wakil yang letak jawatan, dari segi
psikologi,"katanya kepada Antarapos.
Bekas ADUN Mentakab itu turut menambah, cadangan untuk mewujudkan
sebuah jawatankuasa 'risikan' patut dipertimbangkan sebagai satu formula
penyelesaian setelah mengambil krisis yang berlaku di Terengganu
beberapa minggu lepas sebagai kayu pengukur.
Mengulas lanjut berkenaan krisis pentadbiran di negeri pantai timur
itu, Aziz berkata, sungguhpun transisi pentadbiran telah dibincang dan
dirunding sebelum pilihan raya umum, namun ia perlu dilakukan dengan
teliti ibarat menarik rambut di dalam tepung.
"Negeri yang (BN) hanya lebih dua tiga kerusi ini kita kena
berhati-hati membuat keputusan drastik. Sungguhpun kalau ianya
dibincangkan sebelum PRU13, tapi apa sekalipun, kena ambilkira hati
sanubari mereka yang ditukar.
"Begitu juga dengan Umno. Persoaliti berbeza-beza.. kena ambil kira
supaya tak gores hati sesiapa.. Ugut mengugut ini dari segi parti mana
pun wujud kalau keperibadian tergores atau dari segi politiknya tersekat
oleh satu-satu keputusan.. Jadi dia melentinglah,"katanya.
Beliau dalam pada itu turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang
mengatakan Umno-BN bertuhankan wang ringgit dalam usaha 'memujuk'
kembali bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan dua
ADUN lain.
"Dari segi lazimnya mesti ada perbincangan yang positif untuk mendapat
persetujuan baru daripada mereka yang Bebas tapi sertai kembali
perjuangan asal.
"Mesti ada pertimbangan.. termasuklah Datuk Seri Najib melapangkan masa
untuk menghadiri majlis Ahmad Said. Banyak perkara, ini hal
peribadi..kita tak tahu,"ujarnya lagi.
Dalam PRU13 lalu, Umno-BN hanya memperoleh 17 kerusi DUN, dengan
Pakatan Rakyat memperoleh 15 kerusi iaitu 14 daripada PAS manakala PKR
memperoleh satu kerusi.
Krisis yang berlaku berpunca daripada pertukaran Ahmad sebagai menteri
besar itu menyaksikan beliau yang juga ADUN Kijal, mengumumkan untuk
keluar parti dan keputusannya turut diikuti oleh ADUN Ajil, Ghazali Taib
dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun menarik kembali keputusan tersebut
tidak lama kemudian dan kembali menyertai Umno-BN serta menyatakan
kekesalan di atas tindakan yang dibuat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan