Jumaat, 23 Mei 2014

'S'gor perlu segera selesai isu Sekolah Bina Insan'

MALAYSIAKINI


Kerajaan Negeri Selangor digesa segera menyelesaikan isu Sekolah Bina Insan (SBI) di Kajang, di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dilaporkan akan ditutup hujung tahun
ini.
  
Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda Umno Mohd Rafiq Naizamohideen berkata PKR yang menjanjikan pendidikan percuma kepada rakyat pada pilihan raya umum lepas, perlu berupaya menyelamatkan sebuah sekolah bernaung di bawah MAIS, badan berkanun di bawah kerajaan negeri pimpinan PKR.
  
Beliau berharap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dapat menyelesaikan isu SBI yang kini beroperasi sementara di KUIS.
  
"Sebagai menteri besar, ketua kerajaan negeri dan pengerusi lembaga pengarah kolej itu...takkan Abdul Khalid tidak boleh menyelesaikan masalah tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ampang, dekat Kuala Lumpur hari ini.
  
Selasa lepas, Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dilaporkan berkata keputusan penutupan operasi SBI pada hujung tahun ini sudah dimuktamadkan berikutan sumber kewangan yang terhad dan faktor lokasi sekolah yang kini menumpang di KUIS.
  
Mohd Rafiq berkata kerajaan negeri perlu bertanggungjawab untuk menangani isu penutupan SBI yang mempunyai 400 pelajar dan 50 tenaga pengajar.
  
"Mereka patut cari alternatif dan jalan penyelesaian dan membela nasib kesemua pelajar serta ibu bapa, tenaga pengajar dan pegawai pentadbiran...jangan umum nak tutup baru nak mengatasi masalah ini," katanya.-Bernama

Tiada ulasan: