MALAYSIAKINI
Beberapa syarikat tempatan, termasuk Petronas, menawarkan aset bagi
membantu operasi di laut dalam fasa berikutnya untuk mencari pesawat
milik Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kata Timbalan Menteri
Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Beliau berkata sebagai contoh, Petronas menawarkan satu penunda alat
sonar laut dalam dan sebuah kenderaan kendalian jarak jauh manakala
Sapura-Kenchana menawarkan penggunaan alat 'Multibeam Echosounder'
miliknya.
"Bagaimanapun, keputusan belum lagi dibuat berhubung penggunaan semua
aset ini," katanya dalam taklimat kepada media berkaitan perkembangan
pencarian MH370 di sini hari ini, yang dipengerusikan Pemangku Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Pada 5 Mei lepas, perbincangan tiga hala di Canberra membabitkan
Malaysia, Australia dan China bersetuju bahawa aset spesifik, termasuk
aset komersial, akan digerak dalam operasi pencarian fasa berikutnya di
selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, Hishammuddin berkata aset yang ditawar syarikat tempatan
itu akan melengkapi aset komersial yang bakal diperoleh Australia.
Selain Petronas dan Sapura Kencana, Hishammuddin, yang juga Menteri
Pertahanan, berkata kerajaan Malaysia kini berunding dengan DRB-HICOM
Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) serta Boustead Holdings Bhd untuk
mendapatkan beberapa aset.
Sebelum aset berkenaan digerak, Hishammuddin berkata satu kajian
batimetrik menyeluruh akan dilakukan bagi membolehkan pakar memahami
dengan lebih mendalam rupa bumi dasar laut yang terlibat.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata bajet AUD90 juta yang diperuntuk
kerajaan Australia dalam meneruskan misi mencari MH370 merupakan
anggaran siling dan tidak menggambarkan kos sebenar operasi.
Beliau berkata peruntukan kerajaan Australia itu juga merupakan sebahagian daripada keperluan undang-undang negara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah yang perlu dibiayai kerajaan Malaysia
belum ditentukan kerana ia bergantung kepada lokasi dan aset yang
diperlukan sama ada daripada pihak tentera atau komersial.
"Saya boleh sahkan ada pihak ketiga yang telah menunjukkan kesanggupan
untuk membantu pencarian ini, jika ia perlu pembiayaan lebih daripada
kemampuan kita.
"Dengan jumlah yang ada, kita akan teruskan pencarian kita. Kita harap
kerjasama pihak ketiga yang kita lihat dalam fasa pertama dan kedua akan
sama dalam fasa baru ini," katanya yang enggan mendedahkan identiti
pihak ketiga itu.
Media Australia kelmarin melaporkan kerajaan negara itu memperuntuk
AUD89.9 juta bagi tempoh dua tahun sebagai sebahagian sumbangan dalam
usaha antarabangsa mencari pesawat MH370.
Sementara itu, Hishammuddin menegaskan isyarat ping pertama yang dikesan
dalam misi mencari pesawat malang berkenaan di selatan Lautan Hindi
merupakan petunjuk terbaik setakat ini.
"Ping pertama bersandar kepada isyarat paling kuat ketika itu. Tapi
dalam fasa baharu, penting bagi pakar di Canberra bersama-sama Inmarsat
dan pakar lain menentukan lokasi sebenar supaya aset sedia ada dapat
dikerah.
"Kalau lebih banyak aset dikumpul, lebih cepat gerakan boleh dilakukan. Ini sedang diatur sekarang," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan