Roketkini.com
BUKIT GELUGOR: BN harus menjadikan proses Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor yang aman sebagai contoh dalam menjalankan kempen mereka di PRK Teluk Intan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memuji perjalanan kempen di sini yang jauh berbeza dengan suasana di Teluk Intan.
“Saya harap proses (kekal) lancar dan aman. Di sini, tiada ugutan. Keadaan ini perlu dicontohi (dalam PRK akan datang) di seluruh negara.
“Ini lain sekali dengan Teluk Intan. Misalnya, ada cubaan membeli undi. Tidak kira dengan wang atau uniform baru, ia tetap salah,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di SMJK Chung Hwa Confucian tadi.
Beliau merujuk kenyataan kebudak-budakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi semalam, yang menjanjikan uniform baru kepada 8639 anggota Rela yang mengundi di Teluk Intan, jika calon BN, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong menang.
Setiausaha Agung DAP itu juga menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan berhubung kenyataan itu.
“Saya harap SPR akan ambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar Akta Pilihan Raya, tidak kira mereka adalah orang biasa atau pun yang berpangkat menteri,” katanya lagi.
Selain itu, terdapat juga cubaan memburukkan calon DAP Dyana Sofya, apabila gambar seorang pelakon Filipina yang seiras dengannya berbikini disebarkan, terutama di kawasan pengundi Melayu. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan