PRK Teluk Intan  
PRK Teluk Intan


TELUK INTAN - SPR meminta penyokong calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Teluk Intan tidak menimbulkan kekecohan pada penamaan calon esok      ( 19 Mei ).
  
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mereka juga perlu menghormati kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, yang menjadi tempat penamaan calon itu, kerana ia beroperasi seperti biasa.
  
"SPR berharap dan merayu kepada semua penyokong tidak mengulangi peristiwa seperti di Bukit Gelugor di mana ada parti yang berarak menggunakan gendang dan pembesar suara," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan penamaan calon di sekolah berkenaan hari ini.
  
Beliau juga berharap penyokong akan bertolak-ansur, tidak melakukan provokasi dan menghormati ketenteraman pelajar sekolah berkenaan.
  
Katanya, SMK Seri Perak dipilih untuk penamaan calon PRK kali ini memandangkan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan tidak dapat digunakan kerana sudah ditempah untuk majlis kenduri kahwin.

Abdul Ghani berkata sehingga hari ini, sebanyak empat borang pencalonan sudah dibeli dengan dua daripadanya oleh wakil BN dan DAP manakala dua lagi berkemungkinan calon Bebas.
  
Beliau berkata memandangkan sekolah itu terletak di kawasan perumahan yang agak sempit, penyokong dinasihat memastikan mereka tidak menghalang lalu lintas.
  
Menyentuh peratusan keluar mengundi pada 31 Mei ini, Abdul Ghani berkata SPR menjangka ia mencapai sehingga 85 peratus berikutan cuti sekolah.
  
Katanya, SPR menyediakan 420 botol dakwat kekal bagi PRK itu.
  
PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP, akibat kanser pada 1 Mei lepas. - Bernama