CHENGDU,
13 Dis -- Panda yang akan dipinjamkan oleh kerajaan China kepada
Malaysia, Fengyi dan Fuwa sedang bermain di Pusat Pemuliharaan Panda
Gergasi Wolong di Wilayah Sichuan
KUALA LUMPUR - Sepasang panda gergasi dari Chengdu, China yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi dijadual tiba di sini pada Rabu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel.
"Kedua-dua panda gergasi itu dijadual dihantar dari China pada malam Selasa dan tiba di Kompleks MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada pagi Rabu.
"Pasangan panda itu kemudian akan dibawa ke Zoo Negara dan dikuarantin selama lebih kurang sebulan di penempatannya yang telah siap dibina," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Tokoh Tun V.T. Sambanthan di sini hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga dijadual ke Zoo Negara pada 25 Mei ini bagi melawat pasangan panda itu, yang diberi nama Fu Wa (panda jantan) dan Feng Yi (panda betina).
Kerajaan China sebelum ini menunda penghantaran dua beruang itu, yang pada mulanya dijadualkan April lepas, berikutan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 pada 8 Mac lepas.
Palanivel berkata program perjanjian antara Malaysia dan Republik Rakyat China ditandatangani pada 2012, dan menerusinya, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi berkaitan panda gergasi selain membangun serta melatih kepakaran tempatan.
Beliau berkata pengalaman serta kepakaran itu boleh digunakan bagi mempertingkat kesedaran berkaitan usaha melindungi haiwan berkenaan selain menghargai keunikan dan kepentingan konservasi hidupan liar serta biodiversiti.
Terdahulu, Palanivel menyampaikan Anugerah Tokoh Tun V.T.Sambanthan kepada bekas Ketua Wanita MIC pertama Meenambal Arumugam dan rakan karib mendiang Tun Sambanthan iaitu Subanarayana Samy.
Anugerah itu sebagai menghargai jasa, kesetiaan dan bakti mereka kepada pemimpin berkenaan.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan