Selasa, 13 Mei 2014

Hudud: DAP sambut baik keputusan PAS, gesa bukan-Muslim terus tekan UMNO


16.03.13-dinner fundraising-lge-malay join dap (11)





KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menyambut baik pengumuman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak meneruskan hasrat membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) di Dewan Rakyat, Jun ini.

Berikutan pengumuman itu, beliau menyeru organisasi bukan-Islam agar terus memberi tekanan kuat kepada UMNO yang menjadi dalang memulakan kontroversi hudud hanya dengan tujuan memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

Menurut Guan Eng, tekanan boleh terus dilakukan sementara jawatankuasa bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan mengkaji secara lebih mendalam tentang Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Beliau menganggap tekanan sememangnya wajar dikenakan ke atas UMNO dan bukannya PAS kerana kontroversi hudud kali ini tercetus berikutan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyatakan dalam sidang Parlimen 27 Mac lalu bahawa “kerajaan persekutuan bersedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri untuk melaksanakan hudud, termasuk Kelantan.”

Seterusnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mencadangkan agar dibentuk jawatankuasa teknikal antara kerajaan Kelantan dan kerajaan persekutuan.

“Jelas UMNO memang mahu memerangkap PAS untuk melaksana hudud sebagai satu percubaan memecahkan Pakatan Rakyat (PR) disebabkan DAP menentang keras hudud kerana tidak mengikut perlembagaan,” ujar Guan Eng dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, pertubuhan bukan-Muslim wajar menekan UMNO melebihi PAS kerana UMNO yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan PAS melaksanakan hudud di Kelantan kerana parti itu adalah pemegang kerusi terbanyak di Parlimen.

“Organisasi bukan Islam tidak harus secara membuta tuli mengikut MCA dan taktik tidak jujur mereka yang hanya menentang PAS tapi langsung tidak menyentuh UMNO dalam soal pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Jika mereka hanya menyerang PAS, ini bermakna organisasi-organisasi ini tidak ikhlas dalam menentang undang-undang hudud, sebaliknya ia akan mendedahkan sikap sebenar mereka yang menyokong MCA, Gerakan, BN dan UMNO,” tegas Guan Eng. -Roketkini.com

Tiada ulasan: