Spekulasi
menyatakan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri Umno di Terengganu
akan bertindak keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan keputusan
Putrajaya. Gambar fail The Malaysian Insider.
Empat lagi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Terengganu dijangka menyertai
bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk keluar
parti, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman.
Ariffin yang juga Adun Alor Limbat berkata, beliau difahamkan ada lagi
Adun Umno yang akan keluar parti itu, ketika tiga Adun di negeri itu
sudah mengesahkan keluar Umno untuk menjadi wakil rakyat Bebas, susulan
tindakan Putrajaya menggugurkan Ahmad daripada jawatan menteri besar.
Malam tadi Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu di depan Sultan
Terengganu, namun enam Adun Umno tidak menghadiri majlis bersejarah itu
termasuk Ahmad.
Ahmad bersama dua lagi Adun Umno, Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali
Taib (Adun Ajil) menghantar surat meninggalkan Umno dan mengisytiharkan
menjadi Adun Bebas.
Ini menjadikan MB Terengganu hilang majoriti dalam DUN apabila hanya
mempunyai 14 Adun berbanding Pakatan Rakyat 15 (PAS 14, PKR 1) dan Bebas
3 dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.
Sehubungan itu, Ariffin berkata, pihaknya memilih untuk bertukar kerajaan tanpa perlu membuat pilihan raya semula.
"Saya difahamkan, Umno sedang berusaha untuk membubarkan DUN untuk
membolehkan pilihan raya diadakan semula, namun saya lebih setuju
penukaran kerajaan sahaja sebagaimana Perak," kata Ariffin kepada The
Malaysian Insider sebelum memasuki dewan mesyuarat Dewan Harian PAS
Terengganu yang mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini.
Dewan Harian adalah badan tertinggi dalam PAS Terengganu yang
dipengerusikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat
dengan disertai tiga timbalan pesuruhjaya, ketua dewan ulama, pemuda dan
muslimat serta setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan pengarah
pilihan raya.
Ariffin berkata, dengan pilihan raya umum baru sahaja berlangsung tahun
lalu, mengadakan pilihan raya sekali lagi tidak akan disenangi rakyat
dan melibatkan kos yang besar.
Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dijatuhkan berikutan dua Adun PKR dan
satu daripada DAP keluar meninggalkan parti masing-masing dan menjadi
Adun Bebas yang menyokong BN.
Berdasarkan wawancara dengan Adun, Sultan Perak yang merupakan bekas
ketua hakim negara memutuskan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
sebagai menteri besar Perak pada 6 Februari 2009 selepas mendapat
sokongan 27 Adun Umno, 1 MCA dan 3 Bebas dalam DUN yang mempunyai 59
ahli itu.
"Lebih mudah membuat pertukaran kerajaan berbanding mengadakan pilihan
raya semula," katanya dengan mengandaikan Ahmad dan penyokongnya setuju
bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.
PAS pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali namun kedua-duanya
tidak bertahan lama apabila kerajaan pertama hanya bertahan beberapa
bulan manakala kerajaan kedua yang dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang kekal untuk satu penggal sahaja.
Selain Satiful, Hadi juga antara yang disebut-sebut bakal menjadi MB Terengganu sekali lagi.
Ahmad menandatangani surat peletakan jawatan setahun selepas menjadi MB
Terengganu buat penggal kedua selepas pilihan raya umum Mei 2013 lalu.
Namun Ahmad memohon agar tempoh itu dilanjutkan sedikit lagi kerana beliau akan melangsungkan perkahwinan anaknya 17 Mei ini.
Menurut laporan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak permohonan itu dengan alasan ia hanya masalah peribadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan