MALAYSIAKINI
"Apakah ada bantuan kerajaan Malaysia kepada MAS? Tidak," kata pemangku
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.
MAS telahpun mengalami kerugian sebelum kehilangan MH370 pada bulan Mac,
dan hari ini syarikat penerbangan itu berkata tragedi tersebut memberi
"kesan yang dramatik" terhadap prestasinya.
Syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM442 juta
pada suku pertama 2014, iaitu hampir dua kali ganda kerugian bagi
tempoh yang sama tahun lepas, lapor Kinibiz hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (kiri)
dilaporkan berkata kerajaan tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan
syarikat penerbangan itu, tetapi menolak kerajaan akan memberi suntikan
modal baru kepada MAS.
Sementara itu, Hishammuddin memberitahu pemberita hari ini bahawa
operasi antarabangsa mencari pesawat MH370 tidak membabitkan apa-apa kos
kepada Malaysia kerana setiap negara yang menyumbang sumber, menanggung
sendiri kosnya.
"Yang terbabit hanyalah kos mengerahkan aset ketenteraan kita, yang sudahpun berada di sana," katanya.
'M'sia akan kongsi kos'
Untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari di dalam laut, Hishammuddin
mengulangi bahawa adalah adil bagi Malaysia berkongsi sebahagian
daripada kosnya dan bukan ditanggung sepenuhnya oleh Australia.
Bagaimanapun, katanya, kos yang Malaysia akan ditanggung belum
dianggarkan lagi, kerana kawasan carian dan aset yang diperlukan masih
belum ditentukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan