Isnin, 26 Mei 2014

DAP gesa Najib beri penjelasan pinjaman RM40 juta kepada ahli perniagaan

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan apakah asas Bank Rakyat meluluskan pinjaman kepada seorang VIP oleh Bank Rakyat.  – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2014. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan apakah asas Bank Rakyat meluluskan pinjaman kepada seorang VIP oleh Bank Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider.  



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa memberi penjelasan hubungan seorang ahli perniagaan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memberikan akses kepadanya mendapat pinjaman RM40 juta daripada Bank Rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, timbul persoalan sama ada tindakan itu mengikut prosedur yang betul atau bersifat politik semata-mata.

"Najib mesti menjelaskan apakah asas Bank Rakyat meluluskan pinjaman ini.

"Bagaimanakah pinjaman yang begitu tinggi nilainya diberikan kepada seorang VIP tanpa kemampuan membayar semula atau sebarang bantuan kewangan? " soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam respons terhadap pendedahan bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan‎ Sri Sabbaruddin Chik yang tidak disambung kontraknya gara-gara pinjaman bernilai RM40 juta yang dibuat oleh seorang individu yang rapat dengan pentadbiran Najib.

Sabbaruddin memberitahu The Malaysian Insider, individu tersebut menggunakan jaringan politiknya untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah.‎

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Najib juga harus mendedahkan tawaran kompromi oleh VIP itu selepas tempoh khidmat Sabbaruddin tidak dilanjutkan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada individu tersebut dibenarkan membuat pembayaran semula secara 120 kali ansuran selama 10 tahun, tanpa faedah.

"Najib harus jujur dan memperhitungkan semua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai keadaan kewangan meragukan," katanya.

Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni.

"Kedibiliti dan integriti Bank Negara dalam memastikan sistem kewangan yang baik dan boleh dipercayai dipersoalkan apabila pinjaman diberikan semata-mata atas dasar naungan politik pemberian wang," katanya.

Sabaruddin mendedahkan VIP itu bertemu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yang bertindak masuk campur tangan.

Sabbaruddin memberitahu Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada mulanya untuk menolak penyelesaian mudah yang diberikan bagi menyelesaikan baki pinjaman individu tersebut dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping cek "post dated".

"10 tahun bayar hutang tanpa faedah, maknanya bank rugi tanpa faedah," kata Sabaruddin menjelaskan mengenai penyelesaian mudah tersebut.

Menurut Sabbaruddin, Hasan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu enggan menandatangani surat menyambung khidmat beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat.

Malah, Sabbaruddin juga mendedahkan Hasan mengadakan pertemuan dengan individu tersebut di luar pengetahuan Bank Rakyat pada Januari lalu.

The Malaysian Insider difahamkan individu yang berhutang tersebut merupakan pemilik kepada sebuah syarikat karpet di ibu kota yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.‎

Selain pernah mencetuskan kontroversi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu, beliau juga pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.

Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdulla‎h.

Tiada ulasan: