Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat
yang baharu Datuk Dr Awang Adek Hussin adalah antara duta yang
menyerahkan watikah pelantikan mereka kepada Presiden Amerika Syarikat
Barack Obama di White House pada Rabu.
Memakai baju Melayu berwarna hitam dan diiringi isterinya Datin Latifah
Mohd Yusof, anak perempuan dan cucu perempuan, Awang Adek adalah yang
ketiga dipanggil untuk bertemu presiden pada majlis itu.
Duta Besar lain ialah dari Chad, Indonesia, Timor-Leste, Turki, Burundi,Jerman, Honduras, Chile, Benin, Kiribati dan Tajikistan.
Majlis
penyerahan watikah pelantikan itu merupakan upacara tradisi bagi
menandakan khidmat sebagai duta di Washington bermula secara rasmi.
Upacara itu berlangsung di Oval Office.
Sementara itu, Awang Adek (kanan) ketika ditemui di New York
berkata Obama merupakan seorang yang ramah dan tidak putus bercerita
tentang pengalamannya melawat Malaysia baru-baru ini.
Duta Malaysia itu berkata sebaik sahaja memasuki pejabat presiden itu, beliau disambut Obama dengan "Selamat Siang".
Obama, katanya, melahirkan perasaan gembira kerana berkesempatan bertemu
dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja
Permaisuri Agong Tuanku Hajah Hamimah semasa lawatannya itu.
Beliau berkata Presiden Amerika Syarikat itu juga berkata beliau berharap untuk berada lebih lama di Malaysia.
Lawatan tiga hari Obama ke Malaysia daripada 26 April lepas – adalah
sebahagian daripada lawatannya ke empat negara di Asia - yang pertama
oleh presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan
Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
"Presiden Obama juga memuji hubungan kerja baik dan perkongsian komprehensif antara Amerika dan Malaysia," kata Awang Adek.
Awang Adek berkata presiden juga mengalu-alukan peranan Malaysia sebagai
pengerusi Asean pada tahun depan dan bersedia untuk menyaksikan Kuala
Lumpur menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa
Bersatu.
Katanya, Obama sekali lagi berbahasa Melayu apabila pertemuan itu
berakhir dengan meluahkan ucapan "Terima kasih banyak-banyak".
Duta itu ditemui pada Jumaat pada pameran foto 'Malaysia's Involvement
in the United Nations' anjuran Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat badan dunia itu.
Pameran diadakan sempena lawatan kerja Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke New York.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan