Kurang 24 jam lagi pengundi Bukit
Gelugor, Pulau Pinang akan memilih pengganti ahli parlimen legenda
Karpal Singh untuk mewakili mereka.
Tanpa penyertaan BN, calon DAP Ramkarpal Singh dianggap tidak bermasalah
meneruskan legasi bapa beliau yang telah tiga penggal berturut-turut
memenangi kawasan tersebut.
Pilihan raya cecil (PRK) Bukit Gelugor yang ditenggelamkan oleh satu
lagi PRK di Teluk Intan sebenarnya tidak kurang meriah dengan pelbagai
ragam oleh ketiga-tiga pesaing yang menentang Ramkarpal yang bertanding
buat pertama kali.
Calon yang dianggap mampu mendapat undi yang baik iaitu naib presiden
Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan, juga dilihat sebagai
pengganti automatik MCA di situ.
Kecuali beberapa kenyataan kontroversi yang tiada kaitan dengan pilihan raya seperti orientasi seksual Ramkarpal, Huan tidak dilihat mendapat sambutan hangat pengundi.
"Saya harap dapat kembali deposit.
(Dapat) 12 peratus undi pun jadilah," kata beliau kepada wartawan secara
bersahaja dalam salah satu kempennya.
Malah cara Huan berkempen mirip MCA dengan penekanan kepada masyarakat Cina yang merupakan majoriti pengundi parlimen ini.
Calon paling terkenal PRK Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohamad Zan
pula mengganggap diri beliau sebagai satu-satunya calon terbaik
menentang Ramkarpal.
Beliau yang menjadi tajuk berita sejurus penamaan calon kerana bertikam
lidah dengan wartawan berbangsa India kerana mengutarakan perkataan 'paria', yang penggunaan disalah faham sebagai menghina.
Malah insiden 'langgar kereta' ketua menteri Lim Guan Eng menyebabkan
nama beliau heboh diperkatakan oleh seluruh penduduk Malaysia.
Bagaimanapun populariti segera dan gimik beliau tidak menjamin pengundi Bukit Gelugor memberi sambutan pada beliau.
Semalam di padang hadapan Masjid Bandar Baru Air Itam tidak sampai 30
orang hadir mendengar ceramah beliau malah kebanyakannya pemandu teksi
dan wartawan.
Berita tentang insiden beliau turut menenggelamkan kempen beliau
menuntut keadilan bagi pemandu teksi, penjawat awam dan rakyat Pulau
Pinang khususnya di Bukit Gelugor.
"Saya bertanding untuk menang. Saya seorang saja dan tidak berpihak,"
kata beliau kepada Malaysiakini sewaktu ditemui di hospital kelmarin.
Sayang sekali kerana penjelasan beliau mengenai hudud dilihat lebih
'koheren' dan jelas berbanding seorang lagi calon bebas Mohamed Nabi Bux
Mohd Abdul Sathar.
Mohamed Nabi yang mendakwa beliau ahli PAS dilihat masih terbelenggu
dengan hal itu sejak dari hari beliau mencalonkan diri sendiri untuk
bertanding di Bukit Gelugor.
Walaupun PAS terus menafikan Mohamed adalah ahli mereka, beliau terus menekankan hal tersebut di setiap kempen dan sidang media.
Lori ceramah beliau yang diparkir di Taman Tun Sardon yang majoritinya
Melayu dan memasang lagu tema PAS sepanjang petang setiap hari.
Menjadikan agenda hudud pada tahun 2020 jangkauan Mohamed untuk PRK ini
bagaimanapun dianggap terlalu pendek kerana penduduk Melayu yang kurang
14 peratus dari jumlah pengundi.
Beliau juga dianggap kekurangan skill bercakap dan tiada jentera untuk membantu kempen beliau.
Halangan terbesar Ramkarpal untuk meraih majoriti besar bagaimanapun adalah penduduk Bukit Gelugor sendiri.
Pelbagai isu yang dimainkan seperti sentimen kaum, pergeseran pakatan
rakyat dan lain-lain mungkin membuatkan jumlah peratusan pengundi turun
jauh kurang berbanding 85 peratus tahun lalu.
Data terbaru SPR menunjukkan Bukit Gelugor mempunyai 82,431 pengundi
berdaftar dengan pecahan kaum seramai 61,267 (74.33 peratus) Cina;
11,913 (14.46 peratus) Melayu; 8,848 (10.73 peratus) India dan 403
(0.49peratus) lain-lain kaum.
Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lalu, Karpal mengumpul 55,839 undi
menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam dengan majoriti 41,778 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan