Rabu, 9 Oktober 2013

Syiah jadi isu politik


Oleh Subky Latif


Sebelum Datuk Mukhriz membangkit isu Syiah di  Kedah, Dr  Mahathir ada membuat kenyataan bersama dengan bekas Presiden Qatami dari Iran betapa Islam jangan bertempur dan berbunuh sama sendiri atas perbezaan antara Syiah dan Sunni.

Ia adalah merujuk tentang perang saudara di Syria. Pergolakan di Syria itu adalah campuran antara kezaliman dan demokrasi, antara penindasan dan pembelaan keadilan, dan antara Syiah dan Sunni. Majoriti penduduk adalah Sunni dan mereka dikuasai sejak berdekad oleh manoriti Syiah yang terdiri sekitar 22 peratus rakyat.

Persefahaman Mahathir-Qatami itu tenggelam apabila anaknya Menteri Besar Kedah membangkit bahayanya penyerapan Syiah dalam kalangan rakyat.

Sejak zaman-berzaman pertentangan antara kedua penganut itu adalah masalah akidah. Sekalian Arab berbalah dengan Iran kerana Syiah orang Iran itu, bukan kerana Parsi dan Arabnya. Kalau kerana bangsanya, mengapa Arab tidak masalah dengan Pakistan sedang kedua-dua bukan satu rumpun bangsa.

Ia tidak jadi isu di Malaysia  sehingga tercetusnya Revolusi Islam Iran kerana negara kita bukan tapak yang subur untuk Syiah. Tetapi pengaruhnya menyusup di tengah pengikut Sunni. Antara pendakwah kita memandang berat penyusupan itu. Justeru kepekaan tentang akidah itu oleh individu-individu, maka isu Syiah itu tidak meletup.

Tetapi yang meletupkannya Mukhriz seorang yang tidak terkenal sebagai pembelaan akidah Islami. Dia adalah seperti lain-lain orang awam Islam. Jika penonjolannya membela penindasan teerhadap Palestin, bukan dibuat atas jihadnya yang tinggi, tetapi atas dasar kemanusiaan, keadilan dan anti kekejaman.

Sebagai Menteri Besar  dan tenaga politik baru muncul, dia menimbul isu Syiah yang berkembang itu. Dia mahu perkara itu disekat. Suaranya itu amat menyenangkan individu-individu yang risau tentang penyusupan Syiah itu. Dan kini ia jadi isu politik.

Mukhriz dan orang Islam awam dalam Umno mendapati sejak kelahiran Republik Islam Iran, rata-rata pimpinan PAS mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pimimpin Iran. Hubungan baik itu bukan justeru perkonngsian akidah, tetapi berkongsian worldviews, anti Amerika dan barat, anti mustakbirin, anti penjajahan bentuk baru barat.

Oleh sebab hubungan baik Dr Burhanuddin Al-Hilmy yang baik dengan Sukarno yang erat pula dengan komunis, dan orang PAS rapat dengan orang-orang Indonesia sebelum konfrantasi, maka PAS telah ditohmah menyokong komunis. Setiap kali pilihan raya Umno mengaitkan PAS dengan komunis. Amat payah bagi PAS membebaskan diri dari perangkap fitnah politik itu.

Sekarang PAS adalah tenaga pesaing Umno yang ketara. Perhatian kepada PAS itu lebih ke depan dari Umno. Sudah  dua PRU BN gagal meraih kecemerlangan. Ia boleh jadi lebih buruk pula selepas ini.

Apa modal besar Umno bagi melumpuhkan PAS. Ia sedang menggambarkan kepada masyarakat PAS tidak menentang di luar parti dan di dalam parti. PAS tahu apa yang dibuatnya terhadap Syiah. Jika PAS boleh bekerjasama politik dengan DAP, indvidu Cina dan Hindu tanpa ada penyokong PAS masuk Kristian, Buddha dan Hindu, maka berbaik dengan Syiah yang berlain akidah itu bukan memberi pasport kepada penyokongnya untuk bertukar mazhab.

Dengan fahaman itu PAS menjelaskan tiada anggotanya yang Syiah. PAS jangan terperangkap oleh politik Umno dan pemuja-pemuja Amerika yang anti Iran dan Islam. Tetapi sebagaimana PAS di zaman Dr Burhanuddin dulu diperangkap dengan tohmah menyokong komunis, maka perangkap  itu sudah dipasang iaitu PAS tidak menentang Syiah.

Sasaran perangkap itu tidak banyak atas penyokong yang setia, tetapi adalah untuk menjauhkan  oleh Melayu dari mendekati PAS. Tidak mudah bagi PAS keluar dari perangkap itu. Sekalipun ia adalah ikhtiar Umno supaya kempen PAS ganti Umno tidak berhasil.

Mungkin PAS boleh memberi penjelasan ilmiah yang layak dapat Phd, tetapi dari segi politiknya ia sudah dijerat.

Tiada ulasan: