Oleh A Kadir Jasin
MEMINJAM loghat P. Ramlee, tajuk berita utama akhbar Berita Harian 8 Oktober tidaklah “menggumbirakan”.Sebaliknya ia memalukan Umno khasnya, orang Melayu amnya dan penduduk Malaysia keseluruhannya.
Tetapi ia juga boleh dijadikan teladan dan mungkin juga petanda bahawa
Umno telah bersedia berdepan dengan hantu yang sekian lama meracau dan
mengacau tubuh badannya - puaka yang menyebabkan banyak ahli tawar
hati dan meminggirkan diri.
Puaka yang menyebabkan sesiapa saja yang berani bersuara diketepikan. Puaka yang menjadikan pengampu, kaki bodek dan penghasut disukai dan berpengaruh di koridor kuasa.
Tahniah kepada BH atas tajuk berita “1,703 perwakilan, calon Umno muflis”.
Akhbar itu, antara lain, melaporkan: “Seramai 33,272 calon disahkan
bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan UMNO bulan ini
selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti,
termasuk 334 yang didapati muflis.
“Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah
dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muflis oleh Jabatan
Insolvensi.” (Baca di sini)
Syabas kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno kerana membuat tapisan yang teliti.
Saya tidak hairan sedikit pun dengan berita tersebut. Hari ini,
walaupun banyak Melayu dan Islam begitu “judgmental” (suka mengukur
orang) keimanan orang lain, banyak daripada mereka adalah hipokrit.
Mereka sendiri lebih teruk daripada orang yang mereka ukur dan adili.
Hari ini banyak orang Melayu (dan orang Malaysia amnya) suka berhutang
di luar kemampuan dan tidak berniat membayar balik hutang sedangkan
Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dan orang yang berhutang sama
tarafnya dengan hamba abdi.
Orang yang berhutang, tetapi tidak membayar balik hutang, lagi-lagilah
yang diisytiharkan muflis kerana tidak membayar balik hutang, tidak
layak menjadi pemimpin. Memilih mereka sebagai pemimpin samalah dengan
memilih hamba abdi menjadi pemimpin.
Saya bukan menghina hamba abdi. Tetapi adakah kita mahu dipimpin oleh
hamba abdi yang berhutang? Tidak kira sama ada mereka muflis kerana
berniaga, kerana tak bayar pinjaman pelajaran tinggi, tak bayar hutang
kad kredit atau kerana menjadi penjamin orang yang berhutang, pokok
pangkalnya mereka tetap muflis.
Lagi hina adalah orang yang rela diisytiharkan muflis daripada berusaha membayar balik hutang.
Tetapi bukan orang muflis sahaja wajib ditegah bertanding dan mengundi.
Orang yang didapati bersalah kerana jenayah, rasuah dan politik wang
juga wajib ditegah daripada bertanding dan mengundi.
Sekiranya ada orang seperti itu yang terlepas daripada pengawasan dan
tindakan Jawatankuasa Pemilihan tetapi diketahui oleh pemilih dan
perwakilan, mereka pun wajib ditolak juga.
Kalau Umno mahu pulih daripada delima dan maladi (penyakit) yang
dialaminya sekarang dan mahu kembali menjadi parti pilihan orang Melayu,
ia memerlukan kepemimpinan yang bersih, telus, berwibawa, muda dan
bertenaga.
Kepemimpinan yang hormat dan akur kepada ahli bukan yang takut dan
utamakan anak bini, suku-sakat, para penasihat, peniaga minyak ular dan
ahli sihir. Barang dijauhkan Allah!
Pemilihan kali ini adalah peluang terakhir Umno menyegarkan semula
kepemimpinannya dan mengembalikan idealisme perjuangan. Sekiranya ini
tidak berlaku, kemungkinan Umno menjadi parti rumput tengah jalan (hidup
segan mati tak mahu) adalah amat besar.
Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan