THE MALAYSIAN INSIDER
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan saman RM1 juta yang difailkan seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap seorang bekas pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berhubung isu fahaman 'Wahhabi' yang diterbitkan dalam sebuah blog yang didakwa memfitnahnya.
Hakim Datuk Wira Halijah Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Dr Azwira Abdul Aziz, 45, gagal membuktikan kesnya berada atas imbangan kebarangkalian.
Dalam saman yang difailkan pada 18 Jun 2009, Azwira menamakan Zamihan Mat Zin, 37, bekas penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, yang juga pemilik blog alghari.blogspot.com sebagai defendan.
Azwira menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi pengajaran sebanyak RM500,000, faedah, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira berkata Zamihan telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk "Kisah Lama dari UKM" di blog berkenaan pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahhabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah.
Katanya, perkataan-perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang bermetodologi Salafi Al Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman Wahhabi serta seorang yang membawa ajaran yang sesat.
Azwira berkata penerbitan artikel itu telah menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam.
Katanya beliau sebelum ini, melalui surat peguam caranya bertarikh 11 Mei 2009, menuntut defendan membuat satu kenyataan memohon maaf secara bertulis dan ganti rugi sebanyak RM500,000, namun defendan telah gagal, cuai dan/atau enggan berbuat demikian.
Dalam pernyataan pembelaannya, Zamihan yang kini penolong setiausaha di bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri antara lain berkata plaintif telah membuat salah tafsiran tentang kepercayaan yang dipegangnya dan sememangnya plaintif perlu disedarkan.
Mengenai kecederaan yang didakwa dialami plaintif berhubung tindakan beliau, Zamihan berkata jika adapun ia adalah akibat daripada tindak tanduk plaintif sendiri dalam menulis dan/atau menyatakannya di mana-mana dengan memberi pandangan tidak tepat tentang ilmiah sesuatu isu yang diketengahkan.
Azwira diwakili peguam Adnan bin Seman @ Abdullah sementara Zamihan diwakili peguam Azmi Mohd Rais dan Ilyani Noor Khuszairy. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan