Selasa, 8 Oktober 2013

Dewan Negara perlu tolak PCA

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Dewan Negara yang bersidang pada hari ini sehingga 10 Oktober perlu menolak Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 atau PCA, tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Dewan tertinggi negara itu akan membentangkan RUU berkenaan untuk dikaji semula atau diluluskan sebelum diperkenan Yang Dipertuan Agong.

“Para Senator yang dilantik perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja kepada nusa dan bangsa, tetapi juga kepada semangat hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan kita,” kata Fahmi dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Fahmi, rakyat Malaysia, malah  badan-badan antarabangsa terkejut apabila PCA diluluskan Dewan Rakyat 2 Oktober lalu.

“Bukan hanya kerana ia telah dibahas dalam masa yang amat singkat, tetapi juga kerana pada dasarnya RUU ini melanggar hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, tindakan anti demokratik pentadbiran Najib Razak itu bertentangan dengan kenyataan Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jelas Malaysia akan menjadi bahan ketawa masyarakat dunia apabila universal periodic review (UPR) status hak asasi manusia bagi ahli-ahli badan tersebut diadakan 24 Oktober ini, seperti yang diingatkan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam hari ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: