KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menaiki penerbangan kelas pertama Malaysia Airlines System (MAS) bagi tujuan lawatan rasminya ke luar negara.

Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming berkata, Perdana Menteri seharusnya mencontohi rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang menaiki penerbangan Singapore Airlines bagi menjimatkan jutaan ringgit wang rakyat untuk membuat lawatan kerja ke luar negara.

"Kerajaan membelanjakan RM28.8 juta sebagai kos sewa tahunan pesawat Perdana Menteri dan RM5.5 juta untuk menyelenggara pesawat jet VVIP tersebut.

"Selain kos pesawat Perdana Menteri, kerajaan juga menanggung kos RM44.02 juta untuk membiayai kos lawatan luar negara Perdana Menteri sejak 2008," dakwanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas lanjut jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap soalan bertulis beliau meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos perbelanjaan yang terlibat untuk pembelian atau penyewaan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal terbang jet rasmi Perdana Menteri dalam tempoh 2000 hingga tahun ini.

Menurut Shahidan, dalam tempoh tiga tahun dari 2010, kerajaan telah membelanjakan RM86.4 juta untuk kos sewa pesawat, RM16.515 juta untuk penyelenggaraan dan kos pembaikan jet pula sebanyak RM3.32 juta.

"Dengan kata lain, kerajaan menanggung RM100.47 juta untuk pesawat peribadi PM dalam tempoh tiga tahun sahaja," katanya.