BALING - Seramai 20 penumpang bas dalam perjalanan dari pekan Baling ke Sungai Petani terperangkap dalam kejadian banjir terburuk tahun ini di Kampung Binjul Luar dekat sini, kira-kira jam 5.45 petang semalam.
Kebanyakan penumpang merupakan penduduk Baling berjaya dikeluarkan dalam masa sejam menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling.
Kesemua mangsa yang terperangkap tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan trauma dengan kejadian itu.
Pemandu bas, Jamaludin Jasin, 52, berkata, arus yang terlalu deras membuatkan dia tidak boleh meneruskan pemanduan dan membayangkan bahaya kepada penumpang dan dirinya.
Menurutnya, paras air yang tinggi dan deras memaksanya untuk tidak mengambil sebarang tindakan tindakan melulu.
“Saya hanya mampu hubungi pasukan penyelamat untuk menyelamatkan kami. Ada penumpang yang menjerit, menangis. Saya hanya mampu suruh mereka sabar dan berdoa,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia tidak menyangka basnya itu akan terkandas kerana tidak pernah berhadapan situasi itu sebelum ini.
“Memang kawasan ini selalu banjir, tapi belum lagi la terkandas, disebabkan itu saya tak buat keputusan melulu, takut jadi sebarang kejadian tidak dingini. Tambahan pula, ada bahagian tayar yang termasuk dalam lubang.
“Jadi, kedudukan bas sedikit menyenget, membuatkan penumpang menjadi cemas,” katanya.
Seorang penumpang, Rubiah Mahmud, 29, berkata, dua anaknya yang berusia setahun dan lima tahun asyik menangis berikutan takut dengan kejadian itu.
“Tambahan pula melihat keadaan sekeliling yang penuh dengan air, mereka semakin takut. Tapi, bila dapat tahu pasukan penyelamat dalam perjalanan, suasana semakin tenang,” katanya yang berasal dari Kampung Bendang Pecah.
Katanya, kejadian itu merupakan yang pertama kali dalam hidupnya dan sememangnya bimbang sekiranya bas itu dihanyutkan arus deras.
Seorang lagi penumpang, Norshahira Syamsudin, 22, berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan berhadapan kejadian itu.
“Selalu tengok orang terkandas dalam banjir, tapi saya tak pernah rasa sendiri. Memang takut, tambahan air yang deras, siapa pun tak berani turun, hanya boleh lambai tangan minta tolong.
“Tapi penduduk tak ada bot, mereka hanya boleh tengok sahaja, bila bomba datang, baru rasa selamat,” kata pelajar Universti Teknologi Mara (UiTM) Merbok itu.
Kawasan Kampung Binjul merupakan kawasan yang sering dilanda banjir bagaimanapun banjir kali ini merupakan yang terburuk.
Setakat ini, dilaporkan lebih kurang 15 buah rumah terlibat dalam kejadian ini yang turut melibatkan kerosakan harta benda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan