Khamis, 15 Ogos 2013

Siasatan terhadap Jasbir Singh, Perimekar masih diteruskan- Wiliam Bourdon


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Peguam Suaram, William Bourdon berkata, siasatan terhadap arkitek perjanjian Scorpene, Jasbir Singh Chal masih diteruskan di Mahkamah Perancis, sekaligus menafikan kes itu terhenti setakat ini sahaja.

William Bourdon
William Bourdon

Pada masa ini, katanya, usaha untuk memanggil Jasbir Singh sebagai saksi masih diteruskan dan hanya keterangan bersumpah di hadapan hakim yang akan diambil kira.

“Hasil siasatan akan dikongsi apabila siasatan itu selesai, yang tidak berlaku pada masa ini, kerana masih masih banyak kajian dan pengesahan dibuat oleh dua hakim Perancis,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikirimkan kepada Suaram baru-baru ini.

Menurut Bourdon, siasatan terhadap Perimekar Sdn Bhd – syarikat milik penganalisis pertahanan, Abdul Razak Baginda juga sedang dilaksanakan.

“Tiada kenyataan mengenai hasil prosiding dan keterangan yang dikumpulkan oleh hakim-hakim yang boleh dibuat pada masa ini. Maklumat akan dikongsi apabila keputusan akan diketahui,” kata beliau.

Beliau juga tidak menolak, hakim akan turut menyiasat kaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu dengan skandal berkenaan.

Beliau berkata, testimoni dari peguam Americk Sidhu juga diperlukan untuk membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah, serta keterangan lain yang akan diterima hakim yang dilantik.

Sebelum ini, Jasbir Singh Chahl dilapor berkata, wanita Mongolia, Altantuya Shaariibbuu tidak pernah menjadi jurubahasa untuk perjanjian pembelian kapal selam tersebut atau terlibat dalam kontrak berkenaan.

Dalam temu bual disiar New Straits Times 27 Julai lalu, Jasbir berkata hubungan Altantuya dengan Abdul Razak Baginda, adalah perkara peribadi.

Tiada ulasan: