Khamis, 15 Ogos 2013

Selepas Anwar kecam mahkamah, petisyen Parlimen Kota Marudu dibicara


anwar-pc-2013

SHAH ALAM : Hanya selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat ‘bising’ apabila mengecam penolakan petisyen keputusan pilihan raya, barulah kes yang dibawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan.

N Surendran, berkata perkembangan itu diyakini berikutan kecaman Anwar yang menyifatkan keputusan mahkamah berkaitan petisyen pilihan raya sebagai memberi gambaran yang jelek.

Naib Presiden PKR itu merujuk keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini yang menerima petisyen kerusi Parlimen Kota Marudu untuk dibicarakan, dua hari selepas sidang media Ketua Umum PKR.

Ahli Parlimen Padang Serai itu berharap lebih banyak petisyen yang difail Pakatan Rakyat dibicara dalam Mahkamah Pilihan Raya kerana yakin kebanyakan kes itu, kukuh.

“Kita harap akan ada perubahan selepas ini dibuat oleh institusi kehakiman kerana petisyen dibuat dengan disertai dengan bukti menyakinkan.

“Sepatutnya ia didengar dan tidak ditolak begitu sahaja,” katanya kepada TV Selangor, petang ini.

Mahkamah Pilihan Raya membenarkan petisyen PKR untuk kerusi Parlimen Kota Marudu dibicara – pertama kali untuk kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum ke-13.

Kerusi itu dimenangi calon BN dari PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili yang mengalahkan calon PKR, Datuk Maijol Mahab dan dua calon lain.

Ongkili menang dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi berbanding Maijol (14,326), Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau Kolod (444 undi).

Ini petisyen kedua yang diterima mahkamah untuk dibicara selepas melepasi peringkat pertama.

Sebelum ini, hakim sama membenarkan petisyen yang dibawa BN terhadap calon PKR, Datuk Seri Panglima Lajim Ukim untuk kerusi DUN Klias di Sabah.

Tiada ulasan: