Ahad, 25 Ogos 2013

Politik ‘angkuh’ MB, semakin menjauhkan rakyat dari Umno-BN

BULETIN ONLINE

KEMAMAN – Dun Chukai telah mengadakan sambutan rumah terbuka hari raya kali kedua khas untuk kaum Tionghua (Cina) di Dun tersebut pada 17 Ogos lalu

Majlis tersebut diadakan di Jalan Jakar Kampung Dusun Nyior yang mempunyai majoritinya masyarakat Cina.

Sambutan luar biasa diberikan oleh masyarakat Tionghua dengan kehadiran dianggarkan lebih 500 orang terdiri warga emas, wanita dan kanak-kanak beramai-ramai datang meraikannya majlis makan malam tersebut.

Mereka diraikan dengan makan malam gulai kawah empat ekor kambing import dan sate ayam serta pelbagai jenis minuman.

IMG_20130824_190721-924453032

Dalam ucapan aluan Haji Hanafiah berkata wakil rakyat PAS tidak sama dengan wakil rakyat Umno-BN kerana wakil rakyat PAS dan Pakatan akan tetap sama, sebelum atau selepas jadi wakil rakyat.

Namun, beliau berkata kerajaan negeri Umno-BN tidak adil kerana menyekat peruntukan Adun Kepada wakil rakyat pembangkang.

“Saya berjanji dahulu (sebelum pilihan raya) jika saya menang (pilihan raya) saya akan tolong semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka, sama ada orang Cina, orang India atau orang Melayu.

“Tapi hari ini, saya rasa susah hati sedikit apabila Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said telah potong saya punya peruntukan untuk Dun Chukai. Langsung (peruntukan) tidak ada dan dia (MB) cuma bayar gaji saya sahaja sebanyak RM4,112 sebulan.

“Dahulunya (sebelum jadi wakil rakyat) gaji saya RM11,000 tapi sekarang cuma dapat RM4,112 sahaja dan campur dengan sedikit elaun dapatlah RM5,000,” ujarnya.

Namun, kata beliau, hairan bagaimana pula dengan wakil rakyat dari Umno dan Barisan Nasional (BN) yang kelihatan senang dan kaya raya setelah bergelar Yang Berhormat.

Menurutnya, wakil rakyat Pakatan Rakyat seperti PAS, PKR dan DAP tidak ada yang kaya seperti Adun-adun BN.

Malah, kata Hanafiah, semua wakil rakyat Pakatan Rakyat terpaksa memotong sebahagian dari gaji dan elaunnya untuk disumbangkan kepada parti setiap bulan.

“Wakil rakyat BN nampak senang dan kaya macam mana jadi macam itu. Wakil rakyat Pakatan Rakyat seperti PAS, PKR dan DAP tidak ada yang kaya seperti Umno-BN.

“PAS potong pula gaji saya RM750 untuk parti setiap bulan dan begitu juga dengan rakan-rakan PKR dan DAP,” jelasnya.

Namun begitu, beliau tetap bersedia berkhidmat untuk rakyatnya meski pun mempunyai pendapatan yang agak kecil.

Oleh itu katanya, jika terdapat rakyat yang kesusahan dalam Dun Chukai termasuk di kalangan kaum Tionghua yang sakit, miskin dan meninggal dunia harap dimaklumkan.

“Satu pesanan saya, jika ada orang (Tionghua) sakit tolong beritahu saya supaya boleh saya pergi tengok. Jika ada orang susah, orang miskin, orang mati (meninggal dunia) atau ada masalah dengan pihak berkuasa tempatan seperti longkang dan sebagai beritahu saya.

“Ini janji saya…….saya akan tolong kamu (Cina) untuk bawa masalah kepada pihak berkenaan (kerajaan) untuk diselesaikan,” tegasnya disambut dengan tepukan gemuruh.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, beliau kesal kerana MB Terengganu bersikap tidak rasional dan angkuh, mengamalkan politik balas dendam.

Beliau berkata rakyat di kalangan pengundi Cina turut terkesan diabaikan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno-BN Terengganu.

“Ya, bukan sahaja orang Melayu tetapi orang Cina juga terabai dan didiskriminasi oleh kerajaan Umno-BN ini. Sebaik sahaja mereka (BN) hampir tumbang di Terengganu dengan hanya mendapat 17 kerusi Dun dari 32 kerusi, Dia (MB) mula cakap angkuh.

“Ahmad Said ‘ugut’ mana-mana Dun yang BN kalah tidak akan diberi peruntukan Dun seperti yang pernah dilantik Pegawai Penyeleras Dun dan Parlimen. Sebab, rakyat telah pilih pembangkang dari PAS dan PKR di Terengganu,” ujarnya

Antara rungutan dari masyarakat Tionghua ialah mereka mendakwa diabaikan oleh kerajaan seperti tidak membersih kawasan, longkang serta tidak dilayan bantuan persekolahan.

Katanya, tindakan pemimpin Umno itu tidak wajar kerana ia hanya akan menjauhkan lagi rakyat terutama pengundi Cina dari pihak kerajaan BN.

Tiada ulasan: