Selasa, 6 Ogos 2013

2 kali tulis surat, tiada jawapan menteri - Iskandar

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengkaji semula status projek-projek yang telah disenaraihitam sebagai projek terbengkalai jika ianya telah diambil alih oleh pemaju penyelamat dan berjaya dipulihkan.
Kerajaan Negeri Selangor telah menerima aduan dari pemaju penyelamat bahawa projek terbengkalai yang mereka ambil alih telah berjaya dipulihkan tetapi orang ramai yang ingin membeli unit-unit di situ gagal mendapat kelulusan pinjaman dari bank.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, bank terpaksa menolak permohonan mendapatkan pinjaman bagi projek seperti itu kerana ia masih berada di dalam senarai projek terbengkalai.

“Akibat dari itu pemaju menghadapi masalah untuk menjual unit-unit yang masih tidak terjual dan ini memberi kesan kepada keupayaan pemaju mendapatkan pembiayaan kewangan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Contohnya, kata beliau terdapat sebuah projek rumah kos rendah di Subang yang berjaya dipulihkan dan telah lebih 80 peratus siap tetapi oleh kerana KPKT masih menyenaraikannya sebagai projek terbengkalai maka 140 orang pembeli telah gagal mendapat pinjaman bank.

Oleh itu, ujarnya kerajaan negeri menggesa KPKT mengeluarkan projek yang berjaya dipulihkan dari senarai hitam itu agar projek tersebut dapat disiapkan menurut jadual yang ditetapkan oleh pemaju penyelamat.

Justeru, pihaknya berharap satu pertemuan di antara kerajaan negeri dan KPKT dapat diadakan dengan segera bagi membincangkan perkara ini dan isu-isu perumahan lain.

Beliau berkata, di antara isu-isu itu adalah harga rumah yang semakin meningkat, pembinaan rumah mampu milik dan penyelenggaraan pembangunan bestrata.

“Pada penggal lepas pejabat ini telah 2 kali menulis kepada menteri yang terlibat memohon pertemuan tetapi tidak pernah ada jawapan dari KPKT,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: