Parti Keadilan Rakyat (PKR) menasihatkan bekas calon PKR di Dun Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin agar membatalkan hasrat menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas tuduhan memfitnah.
Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah dan sewajarnya diselesaikan dengan cara lain yang lebih harmoni.
Sambil menjelaskan tindakan itu merupakan keputusan peribadi Shamsul, Tian juga berkata PKR berpandangan tidak bersetuju dengan tindakan itu.
"Masih banyak cara lain yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah itu dan kami harap ia membatalkan hasratnya dan tidak perlu membawanya ke mahkamah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Batu itu, sudah terdapat beberapa pimpinan PKR yang menasihati Shamsul secara tidak langsung untuk tidak meneruskan hasratnya itu, namun masih belum pasti perkembangan mengenainya kerana Shamsul dikatakan masih beremosi.
"Namun, apa yang kita harapkan jananlah sampai perkara ini di bawa ke mahkamah. Banyak lagi saluran di luar mahkamah yang boleh digunakan dan kami akan terus menasihatinya untuk tidak meneruskan hasrat tersebut," kata Tian lagi.
Shamsul dilaporkan berkata saman itu dibuat ekoran kenyataan Abdul Hadi ketika berceramah di Tebakang Alor Limbat, Marang baru-baru ini yang mendakwa 'ada calon PKR tukang edar pil kuda dan sokong komunis'.- Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan