Sabtu, 20 Julai 2013

pilihan Raya Kecil Apa ertinya ‘Agenda 16-16’ kepada pengundi Kuala Besut?


Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Sesungguhnya Takdir Allah mendahului tadbir manusia.

Sebelum kematian Allahyarham Adun Kuala Besut, Dewan Undangan (DUN) Terengganu terikat dengan keputusan 17-15 dengan BN memilikki lebihan 2 kerusi negeri. Kini sebutan keramat bagi mencapai matlamat kedudukan kerusi '16:16', bukan sahaja menjadi ramalan pihak kolumnis akhbar tempatan bahkan cerdik pandai, ahli akademik dan professor di menara gading bahkan juga menjadi mainan di bibir penduduk di kedai-kedai kopi dan sembang selepas more solat terawih.

Persoalan besarnya ialah; Mampukah pengundi penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini untuk melakukan sesuatu kejutan besar memenangkan calon PAS sekaligus mencipta satu sejarah? Mungkin persoalan lebih dasar dan wajib dibahaskan dahulu ialah; Mengapakah pengundi rakyat Kuala Besut wajar bahkan hampir ‘wajib’ memastikan pencapaian 16-16?

Inilah yang akan cuba di yakinkan penulis supaya pengundi rakyat memahami kemestian untuk bersama-sama untuk menggalas amanah besar ini.

Apa itu 16-16 dan apa pula implikasinya?

Pertamanya, 16-16 bermakna kedua-dua belah pihak samada Barisan Naisonal (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kelebihan kerusi dan undi dalam belah bahagi yang dilalukan dalam perbahasan enakmen atau usul dalam DUN. Pungutan suara atau belah-bahagi akan bakal berakhir dengan seri 16-16, dengan andaian semua ahli DUN hadir dari kedua-dua pihak.

Peruntukan bahawa Yang Dipertua DUN (Speaker) yang dikatakan mempunyai 'undi penentu' atau "casting vote" dalam suasana keputusan undian 'belah bahagi' terikat 16-16, hanya boleh digunakan kalaulah speaker adalah seorang ahli DUN yang dipilih rakyat dan bukan yang dilantik kerajaan yang  secara ‘perlantikan' bukan dari anggota ahli DUN yang dipilih rakyat. Keadaan di DUN Terengganu adalah seperti yang kedua yakni Speaker dilantik.

Ini membawa kita kepada 2 lagi senario atau kemungkinan. Pertama; Tuanku Sultan Terengganu memilih seorang Menteri Besar (MB) dari mana-mana belah pihak samada BN atau PR, yang pada hemat Tuanku Sultan mendapat kepercayaan rakyat Terengganu.

Andainya Baginda tidak mahu memilih maka senario terakhir maka pilihanya ialah membubarkan DUN Terengganu bagi memberi laluan kepada satu pemilihan kerajaan baru dalam satu pilihanraya negeri Terengganu melibatkan seluruhnya 32 kerusi negeri.

Walau bagaimanapun PAS bersedia dengan kemungkinan Tuanku Sultan akan memilih MB dari BN. PAS bersedia bertindak untuk menjadi pembangkang yang kuat dengan Umno-BN kekal sebagai kerajaan negeri Terengganu.

Penulis berpandangan bahawa bagi mendapatkan sebahagian besar pengundi atas pagar, senario Umno-BN kekal berkuasa adalah lebih memberikan ‘keselesaan’ untuk segmen pengundi ini. Faktor ‘Calon’, disamping ‘Isu dan Jentera’ juga adalah kritikal dalam PRK ini. Pelbagai ‘isu’ sedang sengit diperbahaskan dan berembung dalam PRK ini. PAS disaksikan mendominasikan ‘terjahan isu’ –samada isu kemiskinan, peminggiran rakyat, ketirisan dan rasuah, pembolotan kekayaan, sementara Umno terpaksa mengikut rentak dan cuba menjawab balas.

Calon PAS Che Long, seperti diketahui umum mempunyai tarikan dan ‘goodwill’ tersendiri yang menjadikan ‘pengundi atas pagar’ selesa dengan beliau. Sangat munasabah segmen pengundi akan memberikan kelebihan undi kepada calon PAS ini.

Ini sekaligus akan menyempurnakan ‘Agenda 16-16 PAS’ dalam PRK Kuala Besut nanti tanpa mencetuskan pelbagai senario ketidakstabilan dan huru-hara seperti digembar gemburkan oleh pemimpin Umno dengan pertukaran kerajaan atau pilihanraya semula DUN Terengganu.

Pengundi Kuala Besut menjadi ‘King-Maker’?

Dengan kata lain, pengundi Kuala Besut telah menjadi ‘King-Maker’ dalam penentuan arus politik negeri Terengganu. Walaupun apa pun senario kesudahan selepas 16-16 tercapai, jelasnya keputusan PRK ini akan menentukan masa depan politik negeri Terengganu. Itu yang dimaksudkan bahawa Kuala Besut mencipta sejarah.

Perlu diisebutkan bahawa Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, menanggapi PRK Kuala Besut  penentu dalam survival kerjaya politik DS Najib Tun Razak  selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO! Bukan kepalang! Huraiannya tidak semudah sebutannya dan di sini bukan pentasnya.

Mengapa pengundi Kuala Besut mesti menjayakan 16-16? (antaranya…)

Ia bagi memberikan isyarat tajam dan peringatan keras kpada penguasa dan pemimpin politik Umno bahawa kepentingan rakyat di Kuala Besut khususnya serta Terengganu amnya, tidak boleh di ambil ringan lagi. Kedudukan kemiskinan dan Kuala Besut serta ranking Terengganu sebagai negeri termiskin mesti ditamatkan dengan keputusan 16-16 dalam PRK ini.

‘Agenda 16-16’ adalah gagasan untuk membangunkan Kuala Besut khasnya dan Terengganu amnya! Ia adalah semacam ‘manifesto’ PAS dalam PRK ini untuk mewujudkan ‘Pembangunan Mapan’ dan ‘Keadilan Untuk Rakyat Terengganu’ sekaligus membenteras kezaliman serta peminggiran rakyat dalam arus pembangunan serta pembolotan kekayaan oleh penguasa politik.

Lebih terperinci 16-16 memberikan amaran kepada pemimpin Umno bahawa Kuala Besut jangan lagi tercicir dan terpinggir dari arus pembangunan berbanding dun-dun dalam kawasan Besut itu sendiri.
16-16 akan memastikan pembangunan seimbang akan dicapai dan setaraf dengan Jerteh dan Kota Putera. Kuala Besut juga bakal menjadi Bandar Lestari.

Memperbaiki sistem perairan empangan di Kuala Besut seumpama di alami petani sawah di Kampong Nangka, Kampung Baru, Gong Manok dan Kampong Tok Saboh dengan mendayakan kelompok ini dengan infrastruktur perairan empangan sekaligus menebus guna 1000 ekar tanah terbiar. 16-16 akan mengizinkan penanaman padi dua kali setahun dapat diusahakan bagi meningkatkan pendapatan petani.

Memajukan Kuala Besut sebagai kawasan pelancongan yang berdaya maju dan menarik dengan menaikkan taraf  jeti Kuala Besut untuk menarik lebih ramai pelancong untuk ke Pulau Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Pastikan RM250 juta yang dijanji oleh TPM untuk muara Kuala Besut segera di bayar dan perancangan yang lebih mapan perlu disusun dan dilaksanakan.

16-16 akan memastikan rakyat khasnya kelompok nelayan yang memerlukan akan diberikan tanah untuk kediaman perumahan dan menangani aspek gejala sosial khususnya di kalangan muda-mudi. Pendidikan dan persoalan kerjaya serta membangunkan ketrampilan mereka ditangani secara berkesan.

16-16 tidak akan mengizinkan tanah-tanah berharga seperti dipesisir pantai dan di pulau-pulau pelancongan di’anugerahkan’ kepada wakil-wakil rakyat seperti amalan lama sementara rakyat ternafi.

16-16 akan dapat menjadikan Dewan Undangan Negeri sebagai pentas semak-imbang paling berkesan dalam perbelanjaan RM1.8 bilion wang ihsan dan dana khas dalam perbelanjaan bajet negeri. Bajet negeri juga (RM2 bilion) akan dipertanggungjawabkan secara telus dan tidak akan mudah-mudah diluluskan kecuali setelah mengambil perhitungan serius kemaslahatan rakyat.

16-16 akan menuntut ruang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya golongan muda dan wanita untuk dimajukan dalam pelbagai sektor pekerjaan khasnya mengambil berteraskan pelancongan.

Secara kesimpulannya 16-16 akan memberikan ruang untuk persaingan lebih sihat dan sengit di dewan undangan negeri dalam memajukan sebuah pelan pembangunan untuk negeri Terengganu amnya dan daerah Kuala Besut khasnya.

Tiada ulasan: