Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata meskipun rakyat di negara ini bebas menggunakan media sosial namun kawalan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 aktif dikuatkuasakan untuk mengambil tindakan terhadap sebarang penyalahgunaannya.
"Di bawah akta ini, lebih 6,000 laman sesawang yang melakukan kesalahan, termasuk menghina kesucian agama dan institusi beraja, telah disekat setakat tahun lepas.
"Selain itu, kesalahan lain termasuk menghasut dan memfitnah diambil tindakan di bawah Akta Fitnah dan Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kempen 'Blackout 505' bertujuan menentang keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sudah berkubur apabila anggota Parlimen pembangkang mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat.
"Kerajaan sedar kalau tengok dari segi keputusan PRU baru-baru ini, ada banyak propaganda yang dimainkan... penyokong disuruh berkumpul sebab nak ambil kerajaan tapi tidak mendapat sambutan, ini menunjukkan rakyat masih rasional dalam menilai fitnah mereka ini tidak benar.
"Macam-macam mereka kata kerajaan tipu, 40,000 Bangladesh yang dikata undi hantu, black out lah, kalau betul kat mana? Bila suruh fail petisyenpun tak ada juga," katanya.
Ahmad Shabery berkata rakyat akhirnya menilai propaganda itu sebagai penipuan apabila wakil rakyat pembangkang akhirnya mengangkat sumpah jawatan meskipun sebelum itu menyatakan mahu memboikot majlis berkenaan.
"Kalau dah selalu bohong, sekali bohong, dua kali bohong, banyak kali bohong tentu orang marah," katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kerajaan menerusi RTM menyediakan saluran khas 'live streaming' untuk persidangan Dewan Rakyat yang boleh diakses melalui rtmparlimen.rtm.gov.my.
"Ini merupakan satu permulaan, satu anjakan baharu yang kita cuba lakukan untuk mempertingkat akses kepada rakyat supaya mereka mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan isu-isu yang dibincangkan di Dewan Rakyat," katanya.
Beliau berkata siaran langsung persidangan Dewan Rakyat selama sejam setengah menerusi TV1 pula ditonton oleh purata sejuta orang setiap hari.
Ahmad Shabery berkata ini menunjukkan masyarakat sememangnya ternanti-nanti dan mengikuti isu yang dibincang di Dewan Rakyat.
"Saya mendapat maklum balas bahawa penonton siaran ini termasuk masyarakat luar bandar yang mahu melihat isu-isu di kawasan mereka dibincangkan dalam Dewan," katanya.
Menteri itu menarik perhatian perhatian bahawa rating tertinggi, iaitu 1.8 juta penonton, dicatat pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat iaitu 24 Jun lepas, yang menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan anggota Parlimen.
Persidangan Dewan bersambung esok. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan