Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat wajar diberi peluang
menganggotai jawatankuasa memantau bagi memastikan projek Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tidak lagi tertangguh, kata
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
“Memandangkan perbelanjaan asal KLIA2 melonjak dari RM1.9 bilion
hingga RM4.0 bilion, kami minta diberi laluan menyertai Jawatankuasa
Pantauan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diwujud pada semalam (8
Julai).
“Kami
juga minta audit bebas diadakan pihak kementerian bagi mengenal pasti
sebab kelewatan, termasuk dari konsultan – KLIA Consultancy Services Sdn
Bhd, syarikat milikan Kementerian Kewangan, yang seharusnya lebih tegas
memantau dan mengekang sebarang VO (variation order),” katanya dalam
sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Nurul Izzah turut mempersoal kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Hishammuddin Hussein kononnya kelewatan pembukaan KLIA2
tidak menjejaskan keuntungan Malaysia Airports Holding Berhad’s (MAHB).
“Namun kenyataan penganalisa pasaran menunjukkan kesan perbelanjaan
akhir KLIA2 bakal ditanggung menggunakan wang rakyat. Contohnya,
penganalisa RHB Research, Ahmad Maghfur Osman, menganggarkan MAHB akan
membelanjakan RM500 juta tambahan untuk projek KLIA2, justeru RHB
menurunkan nilaian terhadap saham MAHB dari RM6.86 dari RM7.23,”
katanya.
Beliau juga merujuk laporan Kajian MIDF Amanah Investment Bank Bhd
(MIDF Research) yang menyatakan MAHB mungkin terpaksa menanggung kos
tambahan bernilai RM250 juta.
“Badan MIDF Research pula dalam laporan mereka menyatakan MAHB
mungkin terpaksa membayar tuntutan RM250 juta daripada kontraktor atas
sebab perubahan permintaan skop kerja-kerja KLIA2,” kata Nurul Izzah
lagi.
MAHB sebelum ini pernah berkeras kononnya KLIA 2 siap menjelang 28
Jun 2013, namun selepas ditekan dan didesak Pakatan Rakyat, barulah
Kerajaan Persekutuan mengakui kelewatan pelaksanaan projek itu dengan
tarikh baru diberikan pada 30 April 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan