Oleh Hasbullah Awang Chik
Nurul
Izzah Anwar mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan saman
kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini berhubung isu
kemelut dakwat kekal yang mencetuskan kontroversi pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) lalu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar membuat
kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak yang
terkandung dalam dakwat berkenaan.
“Kami mempunyai bukti dan dokumen yang cukup untuk menyaman SPR.
"Mereka tidak boleh menukar kenyataan berhubung kandungan nitrat
perak daripada lima ke tujuh peratus ke satu peratus dan kemudiannya
mengumumkan hanya pewarna makanan,” katanya dalam satu forum yang
diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
PR akan mengumumkan secara rasmi mengenai saman itu dalam satu sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.
Naib Presiden PKR itu juga menyifatkan kegagalan Jawatankuasa Khas
Parlimen (PSC) dalam membawa 22 syor PR dalam penambaikan perjalanan
pilihan raya adalah disebabkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)
mempunyai suara majoriti sekaligus mengetuai suruhanjaya berkenaan.
“BN mempunyai ahli yang ramai dalam suruhanjaya berkenaan manakala
Ahli Parlimen PR mempunyai suara sedikit bagi membantah usul yang
diutarakan suruhanjaya berkenaan.
“Cadangan ahli parlimen PR seperti Dr Mohd Hatta Ramli, (Mohamed)
Azmin Ali dan Anthony Loke tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada
PSC. Cadangan yang dikemukakan seperti pendaftaran pengundi secara
automatik apabila berumur 21 tahun dan parlimen dibubarkan selepas empat
tahun berlangsung turut tidak dilaksanakan,” katanya ketika berucap di
siri seminar pasca pilihan raya yang dianjurkan Majlis Peguam, hari ini.
Beliau menggesa SPR supaya lebih telus dalam menjalankan proses
persempadanan semula yang dijangka dilakukan pada penghujung tahun ini.
“SPR dilihat cenderung memberi kemenangan kepada BN dengan
memperluaskan kawasan yang dimonopoli mereka seperti memecahkan kawasan
di Sungai Besar, Selangor namun menyatukan kawasan yang tidak diungguli
mereka dengan mencantumkan kawasan parlimen Ampang dan Pandan,” katanya.
Antara syor yang diketengahkan PSC pada April tahun lalu ialah
memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada
mengundi di perwakilan Malaysia atau secara pos; memberi kemudahan
mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media serta membenarkan pra
pendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemiilih
apabila mencapai umur 20 tahun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan