Selasa, 9 Julai 2013

Muslihat Zahid yang tiba-tiba garang



Oleh Shahbudin Husin

Tindakan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang secara tiba-tiba bersuara lantang mahu mempertahankan Akta Hasutan menimbulkan persoalan ramai dan menjadi percakapan banyak orang ketika ini.

Nawaitu dan keikhlasannya dalam mempertahankan akta itu amat diragui manakala hujah-hujahnya pula terlihat longgar.

Zahid dilaporkan menyelar pihak-pihak yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa memimirkan kesan negatif daripada tindakan itu.

Beliau berkata, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Ordinan Darurat dimansuhkan dan sekiranya Akta Hasutan juga dibuat tindakan yang sama, apa lagi yang tinggal untuk melindungi rakyat dan ketenteraman negara.

Selain itu, Zahid juga berkata, jika Akta Hasutan dimansuhkan ia boleh membawa pertikaian keada 4 aspek dalam Perlembagaan iaitu hak istimewa orang-orang Melayu, status Raja-Raja, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam nada yang lebih tegas, Zahid juga berazam untuk terus mempertahankan akta itu. Wowww, ternampak macam beliau satu-satunya pejuang tulen dalam UMNO yang sayangkan negara ini!

Pemansuhan Akta Hasutan adalah sebahagian daripada janji transformasi yang mahu dilakukan oleh Najib sebelum pilihanraya lalu.

Najib menjanjikan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional di mana sebelum itu juga Perdana Menteri memansuhkan ISA, Ordinan Darurat dan Akta Kolej dan Universiti atau AUKU yang bertujuan lebih menghargai kebebasan serta hak asasi rakyat dengan tidak mengabaikan keharmonian dan ketenteraman negara.

Janji Najib ini diucapkan sebelum pilihanraya umum lalu dan ketika itu semua pemimpin Umno menyokong serta mengalu-alukan langkah yang diambil Najib itu dengan menyifatkannya sebagai pendekatakan berani untuk membawa negara lebih maju ke hadapan.

Persoalannya, kenapa baru sekarang Zahid bersuara? Sebagai pemimpin kanan Umno, jika beliau tidak setuju akta itu dimansuhkan, beliau sepatutnya bersuara sebaik saja Najib mengumumkan pemansuhannnya dulu. Tetapi kenapa baru sekarang?

Apakah juga Zahid mahu memberitahu umum bahawa Najib mengambil tindakan yang salah? Atau maksud yang lebih jauh, Zahid ingin memberitahu bahawa Najib tidak layak lagi memimpin negara ini?

Penyanggahan Zahid terhadap apa yang mahu dilakukan oleh Perdana Menteri, bossnya sendiri, sebenarnya mendedahkan kepada beberapa implikasi seperti gambaran bahawa Najib tidak berhati-hati, terburu-buru, kurang bijaksana dalam bertindak, tidak layak dan pelbagai ciri negatif lainnya.

Dalam masa yang sama, Najib dan kerajaan juga terdedah kepada elemen mungkir janji sedangkan slogan yang menjadi mainan mulut Najib dan UMNO ialah Janji Ditepati.

Apakah dengan tiba-tiba Zahid bersuara mempertahankan Akta Hasutan ini ada kaitan dengan pemilihan UMNO yang hanya beberapa bulan saja lagi di mana beliau disebut-sebut akan bertanding jawatan nombor dua dalam parti?

Apakah sanggahan terhadap Najib itu dan menunjukkan dirinya pejuang tulen itu suatu manifestasi penonjolan diri untuk meningkatkan populariti dan sokongan?

Semua ini membelenggui dirinya kerana Zahid bukanlah terkenal sebagai pemimpin yang lantang tanpa sebab.

Beliau tergambar lebih banyak senyum dan ketawa dan ketika beliau berani mendedahkan amalan nepotisme dan kronisme dalam kerajaan ketika menjadi Ketua Pemuda Umno dahulu pun, akhirnya diketahui oleh Mahathir bahawa beliau berbuat demikian kerana diarahkan oleh Anwar Ibrahim yang menjadi Timbalan Perdana Menteri waktu itu.

Dalam perjalanan politiknya kemudian pula, tidak ternampak tindakannya yang lantang dan berani sama ada ketika menjadi Menteri Pertahanan atau pun Menteri Dalam Negeri.

Jika ada pun ternampak menonjol, ia hanya separuh jalan seperti ketika mula-mula berpindak ke Kementerian Dalam Negeri. Ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno pula lebih banyak mengandungi lawak jenaka serta mengundang ketawa.

Sebab itu, bila tiba-tiba suaranya agak nyaring dalam isu pemansuhan Akta Hasutan ini, persoalan tentang mawaitunya tidak dapat dielakkan.

Selain kenapa hanya sekarang beliau bersuara mahu mempertahankan Akta Hasutan ini sedangkan sebelum ini suaranya tidak pernah kedengaran, hujah-hujah Zahid juga ternyata amat longgar.

Zahid berhujah bahawa jika Akta Hasutan dimansuhkan ia akan menjejaskan 4 aspek perlembagaan iaitu hak istimewa orang Melayu, status Raja-Raja, kedudukan Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Soalnya apakah dengan pemansuhan Akta Hasutan, tiada undang-undang lain yang boleh melindungi keempat-empat aspek itu? Bodoh sangatkah Najib selaku Perdana Menteri tidak mengambil kira mengenainya semata-mata kerana mahu memansuhkan Akta Hasutan itu?

Bukankah masih ada pelbagai undang-undang dan akta lain yang boleh digunakan untuk melindungi keempat-empat aspek yang disebut Zahid itu, meskipun setelah Akta Hasutan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional?

Janganlah Zahid fikir bahawa hanya Akta Hasutan saja yang boleh melindungi keempat-empat aspek itu. Dan janganlah juga Zahid fikir bahawa jika tiada Akta Hasutan, rakyat boleh bebas berbuat apa saja dan seolah-olah negara ini tiada lagi undang-undang langsung?

Sebenarnya negara masih mempunyai undang-undang dalam pelbagai aspek tetapi undang-undang dan akta yang tidak adil serta menekan rakyat sudah sampai waktunya diganti dengan undang-undang lain yang lebih sesuai dengan tahap kesedaran serta kematangan rakyat.

Mengekalkan undang-undang yang zalim dan tidak adil hanya menyebabkan negara semakin berundur ke belakang serta dijauhi oleh rakyatnya. Najib sebenarnya sedang bergerak seiring dengan kehendak rakyat.

Tidaklah menjadi kesalahan untuk Zahid mempertahankan akta itu jika niatnya benar-benar ikhlas untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya kerana ada udang di sebalik batu.

Bahkan mungkin pula mampu melonjakkan sokongan yang diharapkan kepadanya atas keberanian itu tetapi rakyat mengharapkan beliau konsisten dalam tindakannya sepanjang masa.

Janganlah ia bermusim dan selepas pemilihan Umno berakhir nanti, suara garangnya juga hilang entah ke mana. - http://shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: