Ahad, 21 Julai 2013

Bumbung SRA Kampung Assam Jawa Runtuh, Kerajaan Negeri Digesa Segera Beri Perhatian


manikavasagam sekolah agama assam jawa daif 02

KUALA SELANGOR: Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam menggesa Kerajaan Selangor mengambil tindakan segera bagi membaiki bangunan Sekolah Rendah Agama Kampung Assam Jawa yang dikatakan agak daif.

Manikavasagam berkata keadaan sekolah tersebut bertambah buruk selepas dilanda ribut kencang baru-baru ini yang mengakibatkan sebahagian bumbung serta siling di dalam salah satu bilik darjah runtuh lalu menimpa seorang guru yang sedang mengajar.

Menurut Manikavasagam lagi, guru berkenaan, Siti Shajaratuddurah mengalami kecederaan dan terpaksa menerima rawatan lima jahitan di bahagian kepala.

“Sekolah ini serba daif dengan bilangan murid yang ramai iaitu, 320 orang, berbanding sekolah rendah agama yang lain di daerah ini.

“Jadi jadi saya harap Exco Hal Ehwal Islam yang baru, Sallehen Mukhyi dapat berikan perhatian segera untuk membaiki keadaan sekolah ini,” katanya kepada TV Selangor selepas melawat sekolah berkenaan baru-baru ini.
.
“Ini penting dalam memberi pembelajaran didikan agama kepada anak-anak kita di dalam dan luar kawasan Assam Jawa.

“Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berulang dan berterima kasih kepada pihak yang berkaitan yang dapat hadir melihat keadaan sekolah seterusnya memberi jaminan untuk membaikinya dengan kadar segera,” ujar beliau.

Turut serta mengiringi beliau dalam lawatan tersebut, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Assam Jawa, Sarifudin Md Yusof dan Ketua Kampung Assam Jawa Ramli Yusof.

Manikavasagam dalam lawatannya juga berkesempatan menghulurkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada Siti Shajaratuddurah ketika menziarahi guru terbabit di kediaman beliau.

manikavasagam sekolah agama assam jawa daif 01

Tiada ulasan: