OLEH LEE SHI-IAN
Empat
belas aktivis yang ditahan polis kerana membantah perbincangan
Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang berjalan di Kota
Kinabalu dipaksa melakukan ujian air kencing untuk dadah.
Tiga lagi aktivis yang pergi ke ibu pejabat polis di Karamunsing untuk menyatakan sokongan kepada yang ditahan turut ditahan.
Menurut Suaram, 11 ditahan ketika sedang membantah pusingan ke-18
perbincangan TPPA yang diadakan di Sutera Harbour di Kota Kinabalu,
Sabah.
Pengerusi Gabungan Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR), Harieyadi Karmin
mengatakan bantahan itu berjalan dengan aman dengan sepanduk menentang
TPPA.
Selepas berunding dengan polis, pihak penganjur setuju untuk berpindah
tempat kira-kira 50 meter dari pintu utama Sutera Habour.
Namun, setelah berpindah, mereka mendakwa polis datang sekali lagi dan menahan 11 aktivis serta merampas kain rentang protes.
Peguam, Abdul Razak Jamil yang mewakili 14 aktivis itu memaklumkan
bahawa beliau masih tidak dibenarkan bertemu dengan anak guamnya.
Katanya, polis memaklumkan akan menjalankan ujian air kencing ke atas
semua tertuduh sebelum melalui proses siasatan seterusnya.
Suaram mengutuk tindakan polis menahan rakyat yang hanya mempraktikkan hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan polis itu juga jelas tidak menghormati hak kebebasan
berhimpun dan hak untuk mengeluarkan pandangan yang termaktub dalam
Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat,” kata Suaram dalam satu kenyataan
hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh
Dikun mengatakan polis sudah meminta kumpulan itu untuk beredar secara
aman.
“Kami mengesyaki aktivis ini di bawah pengaruh dadah, jadi kami tahan mereka dan jalankan ujian dadah,” katanya.
Jauteh mengatakan keputusan ujian dadah hanya akan diketahui pada 3
petang ini dan jika ia negatif, 14 aktivis itu akan dibebaskan.
Perbincangan mengenai perjanjian mengenai TPPA yang masih berjalan itu
dikritik hebat dari segenap penjuru kerana bimbang ia akan menggadaikan
kedaulatan Malaysia.
TPPA membabitkan 12 negara dan Malaysia mula terbabit dengan perundingan pada Oktober 2010.
Ramai yang mengkritik daripada pelbagai latar dari kumpulan ahli
perniagaan, parti politik sehingga bekas Perdana Menteri ,Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Keenganan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mendedahkan butiran TPPA menimbulkan kemarahan.
Bantahan turut diadakan di hadapan pejabat MITI di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan