Putrajaya mesti menyelesaikan isu penipuan pilihan raya dalam
Pilihan Raya 2013 sebelum bercakap soal perdamaian nasional dengan
Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Ketua
pembangkang itu mengatakan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak untuk mengusulkan perdamaian nasional kekal sebagai cakap kosong
sekiranya tiada apa dilakukan untuk menyelesaikan penipuan, kecurangan
dan salah tadbir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya
umum 5 Mei.
“Selesaikan soal Pemilu (pilhan raya umum) yang
curang. Rekonsiliasi itu harus berlaku. Walau apa cara sekalipun, isu
kecurangan itu perlu ditangani dengan serius,” katanya kepada pemberita
di Jakarta pagi ini, seperti dilaporkan oleh Keadilan Daily.
Pemimpin
de facto PKR itu berada di ibu kota Indonesia selepas lawatan tiga hari
ke negara itu di mana beliau bertemu dengan Presiden Susilo Bambang
Yudhoyono.
Terdapat spekulasi beliau turut akan bertemu Najib yang secara kebetulan berada di Jakarta.
Anwar menafikan terdapat pertemuan dan rancangan untuk pertemuan seperti itu.
“Tidak
ada pertemuan. Tidak ada rencana untuk adakan pertemuan. Jika ada,
ianya harus telus. Rakyat perlu tahu, pimpinan seluruh partai perlu
tahu,” katanya kepada pemberita di Hotel Crown Plaza, Jakarta.
The
Malaysian Insider difahamkan Najib juga dijadualkan untuk mengadakan
pertemuan tertutup dengan Yudhoyono yang telah menyatakan kebimbangan
berkenaan dengan keputusan pilihan raya Malaysia.
Barisan
Nasional (BN) yang dipimpin Najib berjaya mempertahankan Putrajaya
dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89 daripada 222
kerusi di Dewan Rakyat. Majoriti BN kurang tujuh berbanding kemenangan
Pilihan Raya 2008 di bawah perdana menteri pada ketika itu Tun Abdullah
Ahmad Badawi.
Dalam sidang akhbar itu, Anwar mengulangi tuntutan
agar perubahan berlaku dalam kepimpinan SPR dan kerajaan membenarkan
perhimpunan Black 505 di Padang Merbok Sabtu depan yang mahukan tuntutan
sama.
“Najib perlu tahu. Pokoknya kecurangan pemilu,” kata
Anwar menggunakan bahasa Indonesia menjelaskan, himpunan Black 505 akan
tetap diteruskan di Padang Merbok, walaupun terdapat amaran ianya adalah
perhimpunan haram.
Pemimpin PKR itu turut menyelar kerajaan
berhubung penangkapan 15 peserta ‘flashmob’ Black 505 di hadapan gedung
membeli-belah Sogo di ibu kota Malaysia semalam.
Katanya, tangkapan tidak ubah seperti suasana sebelum merdeka apabila pengedaran risalah dianggap sebagai kesalahan.
“Sedangkan
ini cara baru anak muda memperjuangkan keadilan dan menolak perkauman.
Kemunculan anak-anak muda sebelum dan selepas pemilu luar biasa,”
katanya. - June 16,2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan