Editor buletin
Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang hanya menghalang pemimpin Pakatan Rakyat memasuki negeri Sabah yang kononnya didakwa beliau menjejaskan keselamatan negeri itu terus dikecam.
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mempersoalkan alasan Musa yang menafikan tindakan beliau menghalang Nurul Izzah Anwar berunsurkan politik, sedangkn kenyataan Musa itu jelas menggambarkan ia adalah berunsur politik.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz menegaskan, Musa Aman sepatutnya menghalang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terlibat dengan rasuah dan jenayah, kerana ia lebih mendatangkan bahaya kepada rakyat Sabah.
"Kenyataan KM Sabah sebenarnya jelas menggambarkan ia adalah berunsur politik. Jika tindakannya bukan bermotif politik, masakan hanya Nurul Izzah dan pemimpin Pakatan Rakyat sahaja yang dilarang memasuki Sabah.
"Bagaimana pula dengan pemimpin BN, apakah mereka ini semuanya membawa kerahmatan, keselamatan dan keamanan pada rakyat negeri itu? Jika Nurul Izzah juga dianggap berbahaya, ketahuilah pemimpin rasuah dan penjenayah dari kalangan parti beliau sendiri jauh lebih berbahaya dan wajib dihalang dari memasuki negeri itu,"katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Suhaimi berkata, bukan kerajaan negeri Sabah sebenarnya yang tergugat dengan kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat ke negeri tersebut tetapi Umno dan BN Sabah yang tergugat ekoran 'trauma' dengan slogan ‘Ini Kali Lah’ yang bergema sebelum PRU ke 13.
Oleh itu, DPPWP menasihatkan Musa Aman agar jangan berpolitik dengan rakyat menggunakan kuasa yang beliau miliki kerana Jawatan sebagai Ketua Menteri adalah amanah besar yang diberikan oleh rakyat kepada beliau.
"Sebagai ketua kerajaan negeri, beliau tidak berhak memilih-milih mana-mana pemimpin yang layak atau tidak menjejakkan kaki ke negeri itu. Beliau patut melayan rakyat secara adil dan saksama selagi mereka tidak melakukan kesalahan jenayah.
"Pemimpin PR terutama Ahli Parlimen seharusnya adalah tetamu yang perlu dilayan secara kemanusiaan, bukan dihalau umpama pelarian tidak diundang!,"tegas Suhaimi.
Beliau berkata, rakyat sebenarnya sudah matang dan tahu membezakan antara pemimpin bersih, jujur dan ikhlas dalam memperuangkan nasib mereka dengan pemimpin yang mementingkan diri sendiri, keluarga dan kroni terdekat.
"Musa tidak boleh menutup mata dan hati rakyat Sabah dari mendapat kebenaran dan maklumat semasa, kerana kelak rakyat akan mengetahuinya meskipun beliau berusaha menghalang semua pemimpin PR dari masuk ke negeri Sabah,"jelasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan