Khamis, 2 Mei 2013

MB yakin BN menang lebih besar di NS

 
Mohamad Hasan percaya Barisan Nasional akan merampas kerusi yang kalah pada pilihan raya umum tahun 2008.



SEREMBAN: `Jeneral’ Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin kerajaannya mampu mempertahankan kerajaan negeri dalam pilihan raya umum Ahad ini.

Negeri Sembilan disebut-sebut oleh kepimpinan Pakatan Rakyat, bakal jatuh ke tangan gabungan pembangkang itu.

Mohamad  kali pertama bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada tahun 2004 dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad oleh bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mengetuai cabaran BN pada PRU-12 (2008) dan akibat Tsunami politik yang tidak dijangka, BN kehilangan tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Ini merupakan rekod terburuk BN dalam mana-mana PRU yang diadakan sebelum ini di Negeri Sembilan.

Walaubagaimanapun Mohamad tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana fenemona ini bukan berlaku di Negeri Sembilan sahaja, malah lebih teruk di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, apabila empat negeri BN ini tumbang pada Mac 2008.

Justeru itu kali ini Mohamad berazam menebus rekod yang tercalar dengan memastikan kemenangan dua pertiga BN pada PRU-13 ini.

FMT sempat mengadakan wawancara ringkas dengan Mohamad dan menyatakan keyakinan beliau mampu mempertahankan Negeri Sembilan dengan kemenangan yang lebih besar berbanding tahun 2008 (PRU-12)

Sudah lama bersedia

FMT: Adakah Datuk merasakan BN mampu mempertahankan Negeri Sembilan pada PRU-13 ini?

Mohamad: Bukan sahaja mampu mempertahankan malah saya yakin kali ini BN mampu mencapai kemenangan dua pertiga pada Ahad  ini. Keyakinan saya berdasarkan kita (BN Negeri Sembilan) sudah lama bersedia untuk PRU-13 ini iaitu sejak awal 2012 lagi. Malah kita membuat persiapaan dengan jangkaan PRU berlaku tahun lepas.

Sebenarnya pada tahun 2008, kita tidak ada isu berkaitan rakyat di Negeri Sembilan (isu tempatan), yang ada isu nasional sahaja.  Selain itu ada sedikit masalah dalaman di satu dua kerusi.

Kali ini kita tidak ada sebarang masalah. Mereka yang pernah sabotaj parti pun sudah sedar yang rugi adalah mereka sendiri dan parti. Ramai yang mengaku secara terbuka bahawa mereka telah melakukan kesilapan dengan menyokong pembangkang. Oleh itu kali ini semua kepimpinan dan ahli bersepakat untuk menangkan BN.

Kerusi DUN manakah BN akan menang balik (dari Pakatan Rakyat) kali ini untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri?

Saya yakin kita berpotensi untuk menang di kerusi-kerusi DUN yang kita kalah tipis di Ampangan, Sikamat, Paroi, Nilai, Repah, Chuah, Rahang dan Senawang.

Kerusi-kerusi DUN ini dimenangi oleh pembangkang pada tahun 2008 hanya dengan majoriti kurang lima peratus.

Saya juga yakin kita akan mengekalkan 21 kerusi DUN yang kita menang pada tahun 2008. Iaitu Rantau, Kota, Chembong, Gemencheh, Gemas, Palong, Jeram Padang, Serting, Sungai Lui, Pertang, Klawang, Chennah, Sri Menanti, Pilah, Juasseh, Senaling, Johol, Labu, Lenggeng, Linggi dan Bagan Pinang.

Untuk mendapatkan majoriti dua pertiga kita perlu menang sekurang-kurangnya 24 kerusi DUN. Maka dengan mempertahankan 21 kerusi yang kita sandang, kita hanya perlu menambah tiga kerusi DUN sahaja lagi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Tetapi kita tetapkan sasaran kita lebih tinggi dan seandainya kita menang di lapan kerusi DUN yang saya nyatakan tadi, maka kemenangan BN di Negeri Sembilan nanti akan menjadi lebih daripada dua pertiga.

Bagaimana pula peluang BN di kerusi parlimen?

Saya percaya kali ini BN akan menang di kerusi parlimen Telok Kemang dan Seremban kerana mood pengundi di situ mahukan perubahan. Kita sudah selesaikan masalah dalaman yang berlaku pada tahun 2008.

Selepas 12 hari berkempen, bagaimana mood pengundi terhadap BN?

Mood pengundi semakin baik terhadap kita. Kita boleh tengok respon dari rakyat, mereka terima baik pengumuman dan polisi-polisi baik yang dilaksanakan oleh kerajaan terutama sekali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. ‘The feel good factor is there’.

Bagaimana sokongan pengundi India pula terhadap BN?

Saya sangat gembira melihat sokongan kaum India kembali semula kepada BN. Ia sangat-sangat baik baik berbanding tahun 2008. Saya boleh katakan sokongan pengundi India kepada BN sudah melonjak sehingga 65 peratus.

Tiada ulasan: