Jumaat, 31 Mei 2013

DAP sangkal dakwaan KPN bahawa polis adil, tidak berat sebelah

Roketkini.com



GELANG PATAH, 30 MEI: DAP tidak boleh terima dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa pihak polis adil dan tidak berat sebelah ketika menjalankan tugas dan mereka yang melanggar undang-undang harus berdepan dengan tindakan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata sebagai permulaan, KPN perlu jelaskan mengapa polis tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad kerana kenyataan terbuka yang paling rasis dan menghasut supaya sekolah rendah kebangsaan Cina dan Tamil ditutup.

Katanya, jika negara mempunyai pasukan polis yang “adil dan tidak berat sebelah” dan menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak, Mohd Noor dan Abdul Rahman sudah tentu disoalsiasat, ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

“Khalid perlu menjawab pertanyaan mengenai layanan istimewa yang diberi kepimpinan polis kepada bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan itu sebelum mengulangi kenyataan yang tidak bermakna seperti dakwaan polis “adil dan tidak berat sebelah” dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Atau adakah pihak polis diarah secara langsung atau tidak langsung oleh kepimpinan tertinggi kerajaan dan politik supaya tidak “menyentuh” bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan walaupun jelas melakukan kesalahan hasutan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, rakyat Malaysia mahu pasukan polis yang cekap, profesional, tidak memihak, tidak korup dan bertaraf dunia yang mana tugas utamanya mengurangkan kejadian jenayah dan memastikan rakyat, pelancong dan pelabur selamat dan tidak bimbang terhadap jenayah, bukannya memastikan kedudukan pemimpin politik UMNO/BN dalam kerajaan selamat daripada cabaran sivik dan demokratik.

Menurutnya, di Malaysia hari ini, rakyat biasa, tidak kira kaum, agama atau kawasan, sangat khuatir dengan kejadian jenayah yang semakin berleluasa dan ketakutan mereka terhadap jenayah, sedangkan Khalid hanya memikirkan bagaimana mahu mempertahankan Perdana Menteri dan kepimpinan UMNO/BN daripada cabaran sivik dan demokratik rakyat.

“Setiap hari, ada saja kisah tragis bagaimana rakyat Malaysia menjadi mangsa jenayah – dalam akhbar hari ini misalnya, ada laporan yang menyayat hati berkenaan seorang wanita berusia 40-an, Tar Bee Lin, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Sultanah Aminah Hospital (SAH) di Johor Bahru pada Ahad lalu dipercayai menjadi mangsa peragut selepas empat hari bertarung nyawa.

“Tar, seorang kerani yang berasal dari Paloh, Kluang, dipercayai diserang ketika berseorangan menunggu bas dekat rumahnya di Taman Century untuk ke tempat kerja dalam insiden kira-kira jam 8 pagi, 23 Mei lalu.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan dengan beg tangannya yang mengandungi buku nota dan beberapa helai pakaian hilang. Tar, menaiki bas untuk ke pejabatnya di Taman Molek sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Menurut Kit Siang, ini menunjukkan Khalid tidak begitu mengambil berat atau tersentuh dengan kejadian jenayah yang membabitkan nyawa rakyat biasa setiap hari, apabila polis tidak berjaya membasmi julukan Johor Bahru sebagai “ibu kota jenayah di Malaysia”, berbanding melindungi pemimpin politik dan rejim UMNO/BN daripada cabaran sivik dan demokratik daripada rakyat.

“Penahanan semula Ahli Parlimen PKR kawasan Batu, Tian Chua, Ketua Asal Bukan UMNO (ABU), Haris Ibrahim serta aktivis PAS, Tamrin Ghafar, bersama-sama aktivis veteran Hishamuddin Rais dan aktivis pelajar Safwan Anang dan mendakwa mereka mengikut Akta Hasutan menunjukkan berat sebelahnya keutamaan pemimpin tertinggi polis di dalam negara.

“Kini jelas permohonan pihak polis Jumaat lalu untuk mereman Tian Chua, Haris dan Tamrin untuk tujuh hari lagi bagi siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 adalah penyalahgunaan kuasa dan proses perundangan yang teruk, memandangkan tidak ada keperluan untuk polis menaha ketiga-tiga mereka walaupun untuk beberapa minit tambahan – seperti mana yang ditunjukkan hari ini dengan memilih untuk terus mendakwa ketiga-tiga mereka tanpa reman atau siasatan,” tambahnya.

Kit Siang berkata, tahanan reman tujuh hari berkemungkinan untuk memuaskan dendam dan kesumat “Menteri Dalam Negeri” yang paling kuat berpolitik dalam sejarah negara, bagaimana Khalid boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa dia akan menjadi benteng daripada sebarang penyalahgunaan kuasa polis apabila dia tidak melakukan apa-apa untuk menentukan penyalahgunaan kuasa polis dalam menahan tiga tahanan itu.

Katanya, Khalid juga perlu jelaskan dakwaannya bahawa polis “adil dan tidak berat sebelah” dalam menjalankan tugas dengan permohonan yang tidak wajar untuk reman tujuh hari ke atas Tian Chua, Haris dan Tamrin, Jumaat lalu.-Roketkini.com

Tiada ulasan: