Jumaat, 31 Mei 2013

Nurul Izzah dihalang ke Sabah tanda demokrasi BN tenat

KEADILAN DAILY

YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden KEADILAN, hari ini telah dihalang masuk ke negeri Sabah. Beliau yang hadir untuk menyambut pesta Kaamatan bersama rakyat Penampang telah ditahan pihak imigresen Sabah jam 7 malam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan terus dihantar pulang tanpa dimaklumkan mengapa beliau dihalang dari masuk.

KEADILAN mengecam keras tindakan Pejabat Ketua Menteri Sabah menghalang seorang Ahli Parlimen yang dipilih rakyat dari memasuki Sabah. Tindakan autokratik dan tidak demokratik sebegini membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia betapa tenatnya demokrasi di bawah Barisan Nasional Sabah, yang jelas takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Umum sedia maklum, insiden ini bukanlah yang pertama, dan kemungkinan bukan yang terakhir. Oleh itu, KEADILAN menggesa Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk memberi penjelasan sepenuhnya mengapa YB Nurul Izzah dihalang masuk, serta menarik balik serta-merta halangan tersebut.

KEADILAN turut menggesa Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengumumkan sepenuhnya senarai “persona non grata” negeri Sabah, dan sebab nama-nama ini dimasukkan ke dalam senarai tersebut.

YB Nik Nazmi Nik Ahmad
ADUN Seri Setia
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Tiada ulasan: