Khamis, 30 Mei 2013

CAP desak Malaysia tarik diri daripada TPPA

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Apabila teks Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) dirahsiakan dan kita telah melihat kesan buruk FTA seperti di negara-negara lain, adakah kita harus berdiam diri dan percaya kerajaan?
Demikian pertanyaan yang dilontarkan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

“Jika FTA ini akan menjadi begitu bermanfaat untuk rakyat, mengapa kerajaan Malaysia tidak membentangkan teks perjanjian yang sedang dirundingkan untuk diteliti oleh masyarakat awam?

“Mengapa bersembunyi di sebalik klausa kerahsiaan?” tanya beliau lagi.

Menruutnya, jaminan oleh Kerajaan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak mencukupi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

“Percayalah kerajaan, kami tahu apa yang terbaik untuk anda”.  Kenyataan ini adalah semata-mata kesombongan di pihak kerajaan dan kami bimbang bahawa kehidupan dan mata pencarian rakyat serta generasi masa depan akan terjejas jika rakyat tidak berhati-hati dalam apa yang Kerajaan menandatangani bagi pihak rakyat.

Apabila teks Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan begitu juga Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) adalah dirahsiakan dan kita telah melihat kesan buruk FTA seperti di negara-negara lain, adakah kita harus berdiam diri dan percaya kerajaan?

Jika FTA ini akan menjadi begitu bermanfaat untuk rakyat, mengapa kerajaan Malaysia tidak membentangkan teks perjanjian yang sedang dirundingkan untuk diteliti oleh masyarakat awam? Mengapa bersembunyi di sebalik klausa kerahsiaan?

Jaminan oleh Kerajaan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak mencukupi. Adakah Kerajaan takut perdebatan awam? Jika benar-benar ada pasaran bebas dan kerajaan telus, kita seharusnya dapat melihat draf perjanjian.

CAP telah menimbulkan kebimbangan kami dalam banyak isu yang berkaitan dengan bab-bab yang dirundingkan dalam TPPA. Sebagai contoh, kami bimbang bahawa negara TPPA seperti Malaysia didesak untuk bersetuju dengan peruntukan paten yang akan menyebabkan kelewatan kemasukan ubat-ubatan generik dengan harga berpatutan dalam pasaran Malaysia, di mana ubat generik disyorkan ahli farmasi membentuk 84.7% daripada preskripsi. Jika peruntukan ini dipersetujui, rakyat Malaysia akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan untuk jangka masa yang lebih lama.

Sesetengah pihak menegaskan bahawa rakyat Malaysia boleh menghadapi kenaikan harga sebanyak 60% -80% untuk ubat-ubatan tertentu, manakala pihak berkuasa yang lain menegaskan bahawa ubat-ubatan berpaten boleh menjadi 1,044% lebih mahal daripada ubat-ubat generik yang seiras. Versi ubat-ubatan berpaten untuk merawat HIV/Aids, sebagai contoh, kosnya USD15,000 bagi setiap pesakit setiap tahun, manakala versi generik kosnya hanya USD67 bagi setiap pesakit setahun.

Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan adalah mekanisme penyelesaian pertikaian pelabur-negeri (investor-state dispute settlement - ISDS). ISDS menjadi sumber kontroversi yang semakin meningkat di seluruh dunia kerana ia membolehkan pelabur-pelabur asing untuk mencabar tindakan oleh kerajaan tuan rumah, walaupun tindakan itu dilakukan demi kepentingan awam, contohnya kerana kesan kepada kesihatan atau alam sekitar - di premis bahawa tindakan telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan mereka.

Adakah ini akan membawa kepada eksploitasi tidak beretika sumber asli kita dan apakah kesan kepada kesihatan awam akibat pencemaran dan kemerosotan alam sekitar? Tetapi sehingga sekarang kerajaan Malaysia masih tidak memaklumkan bagaimana kebimbangan kami akan ditangani dalam rundingan atau melalui teks perjanjian. Kebimbangan dan persoalan kami masih kekal tidak terjawab.

Perjanjian Perdagangan Bebas adalah satu bentuk penjajahan-semula. "Globalisasi ekonomi adalah satu jenis penjajahan korporat yang baru ke atas negara-negara miskin dan golongan miskin di negara-negara yang kaya," kata Vandana Shiva, seorang aktivis alam sekitar dari India. "Kini kita sedang diminta untuk percaya bahawa proses pembangunan yang telah memiskinkan orang dan memusnahkan planet, akan membawa kepada hasil yang berbeza dan sangat bermanfaat, jika hanya ianya boleh dipercepatkan dan diterimapakai di mana-mana secara bebas, tanpa sekatan: iaitu, apabila ianya diglobalisasikan ".

Kami bimbang bahawa perubahan dan pembaharuan yang didorong oleh penyokong TPPA  akan mempunyai implikasi yang besar bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan. Ia akan menjadi satu kesilapan untuk menandatangani suatu perjanjian terikat, yang hanya boleh dimungkiri pada kos yang tinggi dengan samanan di peringkat dan undang-undang antarabangsa, penyelesaian dan rundingan lanjut. Ia tidak terlalu lewat bagi Malaysia untuk menarik diri daripada TPPA.

Kami mendesak Kerajaan Malaysia untuk melakukan perkara yang betul – tarik diri daripada TPP.

Nota: Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) adalah suatu perjanjian multilateral yang sedang  dirundingkan olah 12 buah Negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunai, Chile, Japan, Kanada, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Untuk maklumat lanjut mengenai impak TPPA dan FTA sila rujuk www.ftamalaysia.org

Tiada ulasan: