Khamis, 30 Mei 2013

Rakyat mahu IPCMC tamatkan insiden tahanan mati dalam lokap polis

Roketkini.com



KUCHING: DAP tidak bersetuju cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membendung insiden kematian tahanan dalam lokap polis.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ini kerana rakyat Malaysia mahukan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang dicadang bekas Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005 itu ditubuhkan bagi menamatkan terus peristiwa kematian tahanan dalam lokap polis yang memalukan dan tidak berkesudahan itu.

Cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas itu diumumkan Pengarah Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene, semalam berikutan kematian seorang tahanan, N Dharmendran di sebuha lokap di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sudah tidak yakin dengan kemampuan Jawatankuasa khas yang diketuai KPN kerana Khalid meletakkan dirinya ‘bersifat politik’ dengan keutamaan tertinggi melindungi rejim berbanding keselamatan rakyat daripada jenayah serta  tidak mengambil kira hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Khalid sudah menjadi Timbalan KPN sejak April 2011 dan rakyat ingin tahu apa yang dilakunya sepanjang dua tahun lalu sebagai orang nombor dua dalam pasukan polis bagi menamatkan insiden kematian tahanan dalam lokap polis.

“Walaupun berlaku dua lagi kematian di dalam lokap polis, N. Dharmendran, 32, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, pada 21 Mei dan R. Jamesh Ramesh, 40, di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang, pada 26 Mei lalu, pengumuman pihak polis sekadar berbentuk amalan perhubungan awam, kerana penubuhan jawatankuasa bertindak khas polis belum dilaksana dan masih dalam perancangan.

“Sudah berapa ramai tahanan mati dalam lokap polis sepanjang lapan tahun lalu sejak laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis pada 2005, tetapi polis tidak mendedahkan kepada umum serta tindakan yang diambil pada setiap kes itu, termasuk hukuman ke atas anggota polis yang ingkar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kit Siang berkata, Mortadza juga menyatakan polis membenarkan lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memantau insiden kematian dalam tahanan polis, tetapi tidak bermakna kerana tidak seorang pun daripada Suhakam yang berbuat demikian sejak lebih sebulan tamat tempoh pelantikan kumpulan Pesuruhjaya Suhakam.

“Khalid akan mendapat kerjasama penuh 89 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat jika beliau bersedia menerajui kempen untuk menubuhkan IPCMC bagi mewujudkan pantauan efektif semua bentuk kesalahan polis,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: