Roketkini.com
GELANG PATAH: Hanya dengan memilih Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP pada 5 Mei ini (Ahad), rakyat Malaysia dapat membuka lembaran baru sekaligus menamatkan fitnah 13 Mei 1969 dan pembohongan UMNO-Barisan Nasional (BN) selama ini.
Calon Pakatan Rakyat Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, berkata golongan yang menuduh beliau menjadi dalang peristiwa 13 Mei 1969 masih terus berbuat demikian tanpa diambil sebarang tindakan tegas oleh pihak yang berkuasa, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan calon BN Gelang Patah, Datuk Abdul Ghani Othman.
Katanya, golongan berkenaan memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan pengundi, terutamanya orang Melayu, dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.
“Mereka menyangka rakyat masih hidup pada tahun 1960-an yang mudah terpengaruh dengan emosi kaum. Oleh itu, saya dengan rendah diri, memohon agar semua pengundi Malaysia menjatuhkan hukuman berat kepada penyebar fitnah bersama dengan pemimpin yang merestui perbuatan keji mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.
“Caranya mudah saja, semua pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan mengundi calon Pakatan Rakyat di seluruh negara pada hari mengundi 5 Mei ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP berkata, dengan mandat baru pengundi, beliau mencadangkan kepada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat nanti menubuhkan Suruhanjaya Bebas Parlimen untuk menyiasat punca dan mereka yang menjadi dalam berlakunya tragedi 13 Mei 1969 itu.
Menurutnya, ini penting kerana sampai sekarang tiada siapa yang menjadi dalang dan punca berlakunya rusuhan perkauman 13 Mei itu.
Lagi pun, katanya, kerajaan UMNO-BN selama ini tidak mempedulikan cadangan itu, malah pimpinan UMNO-BN terus membenarkan penyokong mereka menabur fitnah itu.
Beliau berkata, PRU kali ini bukan sekadar persaingan di antara Pakatan Rakyat dan BN, juga perjuangan di antara semua rakyat menentang BN yang semakin teruk korupsi dan tidak boleh lagi dipulihkan keangkuhan kuasa mereka.
“Dengan itu, saya meminta semua pengundi membuat pilihan yang bijak, terbaik dan amat penting untuk diri, keluarga dan masyarakat serta masa depan anak kita pada Ahad ini untuk membuka satu lembaran baru untuk Malaysia,” katanya.
Ubah! Ini kali lah! – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan