Selasa, 28 Mei 2013

Dua sahabat maut selepas pulang dari Festival Belia

SINAR HARIAN

KUANTAN - Kegembiraan lima sahabat dalam konvoi lima motosikal yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Festival Belia Putrajaya 2013 bertukar tragedi apabila dua daripadanya terbunuh selepas motosikal mereka merempuh sebuah lori di Kilometer 98, Jalan Lipis-Merapoh, sempadan Gua Musang, Kelantan, malam semalam.
  
Dalam kejadian 10.15 malam itu, mangsa, Muhamad Jailani Abdul Rashid, 32, yang bekerja di Jabatan Penilaian, Kota Baharu, Kelantan disahkan meninggal dunia pada 11.20 malam tadi, manakala Mazuwi Muhammad, 31, bekerja di sebuah bank di Wakaf Chiku, Kelantan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah malam.
  
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua sahabat terbabit meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) selepas mengalami kecederaan dalaman serta kepala.
  
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 26 tahun, yang membawa muatan pelbagai jenis barangan, dalam perjalanan menghala ke Shah Alam, Selangor dari Kota Bharu mendakwa terpaksa mengelak sebuah kereta di depannya sejurus menuruni bukit.
  
Bagaimanapun, disebabkan permukaan jalan licin kerana hujan lebat menyebabkan kenderaan berat berkenaan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berhenti melintang di tengah jalan.

"Pada masa sama, lima sahabat terbabit yang datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan berat itu menyebabkan kelima-lima mangsa tercampak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
  
Menurutnya, bagaimanapun, tiga lagi rakan mangsa iaitu Halini Mohd Nor, 29, masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai, Kelantan akibat parah di kepala, manakala Ahmad Razak Darus, 26, dan Rafizi Ramli, 31, mengalami kecederaan ringan namun masih mendapat rawatan di HGM. - Bernama

Tiada ulasan: