Khamis, 30 Mei 2013

DAP: Penubuhan jawatankuasa khas buang masa, laksanakan IPCMC

Oleh Md Izwan

 Bapa mendiang N. Dharmendran, B. Narayanasamy, Naib Pengerusi PKR N. Surendran, isteri N. Dharmendran, M. Marry dan S. Jayathas, semasa sidang media semalam. — Gambar oleh Zurairi ARKUALA LUMPUR — Pengumuman penubuhan jawatankuasa khas kematian dalam tahanan diketuai Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah membuang masa, kata pemimpin DAP Gobind Singh Deo hari ini.

Kenyataan Gobind hadir selepas kematian dalam tahanan terbaru  N. Dharmendran, 32, baru-baru ini, serta mengecam Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana tidak serius dalam menangani isu tersebut dan sepatutnya  segera melaksanakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai badan bebas untuk mengendalikan aduan salah laku polis.

“Cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa khas kematian dalam tahanan adalah bukti jelas pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri tidak mengambil serius terhadap kes kematian dalam jagaan polis sebelum ini.

“IGP mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Beliau perlu tekankan pelaksanaan segera IPCMC jika beliau mahu menghentikan kematian dalam tahanan,” kata Ahli Parlimen Puchong tersebut.

Peguam yang kemudiaan menjadi ahli politik tersebut juga mengganggap jawatankuasa yang dicadangkan itu hanya sia-sia dan adalah satu langkah terkebelakang memandangkan Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) sebelum ini yang mencadangkan penubuhan IPCMC.

“Sudah ada RCI yang menyebabkan kepada cadangan penubuhan IPCMC.

“Menubuhkan jawatankuasa kepada saya adalah satu langkah terkebelakang, membuang masa dan sumber sudah digunakan dan juga cadangan kepada penubuhannya sudah pun dibuat,” kata Gobind merujuk kepada Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 yang dipengerusikan mantan ketua hakim negara, Tun Mohamed Dzaidin.

Gobind juga menyatakan kekesalan dan kecewa kerana sehingga hari ini tiada seorang pegawai polis yang terlibat dalam kes kematian Dharmendran yang didakwa ke muka pengadilan.

“Sekarang polis mencadangkan jawatankuasa hanya sekarang ini. Ini pasti gurauan ketika ramai orang mati.
“Dalam kes Dharmendran, Khalid patut menjelaskan kenapa tiada seorang pun yang didakwa walaupun bukti perubatan jelas menunjukkan ke arah satu pembunuhan.

Semalam, Majlis Peguam juga memberikan reaksi sama apabila menggesa pelaksanaan IPCMC termasuk penubuhan Mahkamah Koroner ekoran  imbang dengan kematian dalam tahanan yang dikatakan berlaku sekali setiap bulan sejak tahun 2000.

Menurut kumpulan hak asasi Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lima lagi kes berlaku pada tahun ini.

Pemergian Dharmendran adalah sebahagian daripada kes kematian membabitkan pihak polis, kes-kes lain yang mendapat tumpuan antaranya ialah Chang Chin Te awal tahun ini, A. Kugan dan R. Gunasegaran pada 2009, pembunuhan pelajar sekolah berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah pada 2010, dan pelbagai kes tembakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”.

Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik daripada kedua-dua belah tanpa mengira jurang perbezaan juga menggesa pelaksanaan IPCMC bertujuan pembaharuan dalam pasukan polis sejak 2006.

Tiada ulasan: