KAMI mengesan jadual penerbangan sebuah pesawat
Air Asia AK9798 membawa 180 penumpang secara percuma daripada Johor dan
tiba ke Kota Kinabalu.
SHAH ALAM: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mendakwa akan ada lagi pergerakan kemasukan pengundi meragukan menaiki kapal terbang esok dan Sabtu, iaitu sehari sebelum mengundi.
Presiden KAMI Khalid Ismath mendakwa, pihaknya mengesan jadual penerbangan sebuah pesawat Air Asia AK9798 membawa 180 penumpang secara percuma dari Johor dan tiba ke Kota Kinabalu.
Khalid berkata, berdasarkan bukti dokumen yang diperolehnya wujud beberapa keraguan apabila senarai penumpang tersebut tidak menunjukkan sebarang data peribadi penumpang seperti biasa.
“Pesawat akan bertolak daripada 920 pagi dan tiba pada pukul 11.20 pagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mendakwa, berdasarkan maklumat dalaman kakitangan syarikat penerbangan dalam sehari sekurang-kurangnya tiga penerbangan membawa penumpang meragukan, majoritinya warga asing termasuk Bangladesh dan Nepal.
Diawasi pihak berkuasa
Penumpang terbabit, sejurus tiba di lapangan terbang diawasi sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan dibawa menaiki bas menuju ke destinasi tertentu.
“Kejadian sama dikesan berlaku sejak bulan Disember tahun lalu,” katanya.
Katanya, walaupun tidak boleh menyimpulkan penumpang terbabit adalah pengundi hantu, namun pihaknya tetap mempersoalkan cara warga asing terbabit dibawa keluar-masuk Semenanjung dan Sabah serta Sarawak itu boleh mencetuskan kebimbangan.
Tambah meragukan, pergerakan itu dilakukan pada saat-saat menjelangnya hari mengundi Ahad ini.
“Kami akan turun memantau penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbangan Subang esok pagi kerana maklumat mengatakan akan ada lagi jadual penerbangan membawa penumpang meragukan,” katannya.
Kemasukan warga asing
Beliau mendakwa, pihaknya terlebih dahulu menyedari kemasukan warga asing ini dan membawa isu ini kepada perhatian pemimpin Pakatan Rakyat sejak awal tahun ini.
Namun, kecewa kerana isu ini tidak mendapat respon memberangsangkan daripada pemimpin parti.
“Malam tadi baru pegawai PKR hubungi kami nak dapatkan maklumat tentang isu ini,” katanya.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR siang tadi mendakwa wujud konspirasi membawa masuk pengundi meragukan dari Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata, 16 penerbangan sehari dibuat dari Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Sibu termasuk menggunakan pesawat jenis Jumbo dan C130 Hercules, didalangi Jabatan Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan