Jumaat, 31 Mei 2013

Langsung tak rasional bataskan Harakah kepada ahli PAS saja!




Oleh AHMAD LUQMAN HAKIM AHMAD LUTFI 

Minggu lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak merampas akhbar lidah rasmi PAS, Harakah di beberapa buah negeri, antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perak.

KDN dalam kenyataan 23 Mei  lalu memaklumkan sebanyak 1,408 tabloid Suara Keadilan, 1,062 Harakah dan 70  The Rocket dirampas. Harakah yang dirampas adalah Edisi Jumaat 24-26 Mei yang memaparkan tajuk muka depan "GST hadiah BN untuk rakyat". Bagaimanapun, difahamkan, KDN sebenarnya merampas lebih 4,000 naskhah Harakah.
 
Tragedi malang ini seolah-olah mengimbau kembali sejarah Harakah ditekan begitu teruk pada era Mahathir Mohamad, khususnya selepas  PRU1999 yang menyaksikan BN mendapat purata undi yang menyusut begitu mendadak terutama daripada pengundi Melayu. Semuanya  dirakamkan oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam kolum Catatan Hujung yang lalu.

Tulisan ini bukan mahu menceritakan kembali zaman gelap itu, tetapi menyorot bagaimana kerajaan BN mengendalikan media cetak dan elektronik di negara ini.

Beberapa persoalan timbul ekoran tindakan sembrono dan bebal KDN itu.

Pertama, mengapa akhbar pembangkang, Harakah, Suara Keadilan dan  Roket ditekan sebegitu rupa, sedangkan dalam masa sama parti-parti komponen BN, khususnya Umno dan MCA bebas "memiliki"  Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan lain-lain?

Kedua, apa rasionalnya  tindakan mengenakan pelbagai syarat tambahan terhadap organ parti-parti Pakatan Rakyat itu, selain sentiasa memberi tekanan kepada media yang dilihat mesra oposisi atau tidak menyokong aspirasi BN?

Kedua-dua persoalan primer ini perlu dijelaskan KDN dan pemimpin kanan kerajaan BN agar Malaysia tidak dilihat sebagai bersikap keras dan mengongkong kebebasan media.

Ayuh kita lihat peranan yang sepatutnya digalas akhbar arus perdana, antaranya menjadi sumber maklumat. Saban hari akhbar  menyiarkan pelbagai perkembangan, bukan saja dalam negara malah melaporkan isu-isu antarabangsa. Semua  maklumat ini menjadikan masyarakat kita cakna dan prihatin dengan situasi di sekeliling mereka.  Semua yang dilaporkan perlu berteraskan fakta dan sumber  sahih agar tidak menjadi medan menabur fitnah.

Soalnya, realiti media kita bagaimana? Akhbar yang dikuasai pemerintah itu hanya menyiarkan berita sebelah pihak tanpa mengambil kira pandangan dan komentar pihak  lain sehingga menggambarkan hanya pihak tertentu sahaja yang benar tanpa khilaf.

Contoh mudah apabila Utusan Malaysia telah kalah hampir kepada semua saman yang dikenakan ke atasnya. Banyak laporan  Utusan bukan saja tidak menepati konteks dan maksud yang ingin disampaikan, malah telah memutar-belit cerita sebenar.

Apa yang dikatakan akhbar perdana itu sebenarnya tidak lebih daripada organ parti Umno dan sekutunya dalam BN. Ia  tidak lagi menepati peranannya sebagai wadah dan wahana penyampai maklumat yang telus, sebaliknya menjadi media penabur fitnah dan pengampu.

Soalnya, jika Utusan dilihat bagaikan lidah rasmi Umno, dan mutakhir ini banyak membangkitkan sentimen perkauman yang melampau, dan  tidak pula ditegur KDN, apatah lagi dihalang penerbitannya,  mengapa pula Harakah dikongkong sebegitu dahsyat?

Kenapa Harakah, organ rasmi PAS, sebuah parti yang sah ditubuhkan sejak lebih 60 tahun lalu, dan dibenarkan untuk bertanding dalam setiap kali pilihan raya, tiba-tiba dihalang penerbitannya daripada dibaca oleh rakyat Malaysia yang bukan ahli PAS?

Adakah kerana Harakah banyak menyiarkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada BN, malah membongkar pelbagai penyelewengan dan salahguna kerajaan, maka ia tidak mendapat hak seperti Utusan Malaysia?

Andaikata KDN mahu dilihat adil dan bebas kepada semua, maka syarat-syarat yang mengongkong kebebasan dan antidemokrasi itu mesti dihapuskan segera. Dalam zaman internet ini, sekatan dan kongkongan terhadap media hanya akan diketawakan oleh dunia. Maka, syarat permit harus diselaraskan kepada semua akhbar tanpa memilih bulu.

Antara syarat tambahan permit yang amat tidak masuk akal dan memualkan minda rakyat kelas pertama adalah penjualan akhbar Harakah kepada ahli PAS sahaja, manakala penjualan di premis yang bukan pejabat atau markas PAS adalah DILARANG. Pada hemat saya, hal ini amatlah tidak menggambarkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan ingin mencapai Wawasan 2020.

Berkenaan penjualan kepada ahli PAS sahaja, apakah instrumen atau andaian yang digunakan oleh KDN bagi menentukan hanya ahli PAS yang akan membeli akhbar Harakah? Adakah dengan menunjukkan kad keahlian? Atau adakah setiap penjual akhbar perlu bertanya kepada setiap pembeli: “Encik ini ahli PAS ke?”

Jika ini yang difikirkan oleh Menteri Dalam Negeri,  sebenarnya anda berfikiran kolot dan primtif! Adakah KDN fikir ahli PAS hanya sekadar 10,000 orang  dan tertumpu di satu-satu tempat sahaja? Dengan keahlian PAS mencecah lebih 1 juta orang, bagaimana KDN mahu memikirkan kaedah yang sesuai untuk mematuhi syarat tersebut? Dangkal sungguh.

Syarat yang memerlukan Harakah hanya dijual di markas PAS juga amat kekampungan. Adakah ahli PAS yang mencecah jutaan ahli itu mudah mempunyai akses terhadap markas PAS di kawasan mereka?

Logikkah orang yang berada di kawasan A tetapi jarak untuk tiba ke markas PAS hampir satu jam perjalanan sanggup berhabis wang minyak dan tenaga untuk ke sana semata-mata untuk membeli Harakah?

Bagaimana dengan ahli yang miskin? Berbekalkan kos sara hidup yang tinggi dan pelbagai kos sampingan yang ada, bagaimana syarat ini mampu diterima dek akal?

Apakah yang KDN mahukan sebenarnya? Demokrasi apakah yang BN ingin laksanakan?

Hal inilah yang membuatkan majoriti rakyat  menyampah dan meluat melihat karenah kerajaan BN yang terlalu rakus dan serakah mempertahankan "kuasa minoriti".

Andai mahu melihat BN masih relevan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bebaskan kongkongan terhadap semua media, khususnya akhbar parti-parti politik pembangkang, seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket.

Selaraskan semua syarat perolehan permit, atau lebih baik mansuhkan sahaja Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang ketinggalan zaman itu. Mengapa harus disekat aliran maklumat secara tradisi dalam negara ini ketika media baru bebas melaporkannya?

Sesungguhnya Harakah bukanlah akhbar antikerajaan atau penghasut ke arah keburukan. Harakah merupakan wadah penyampai pelbagai informasi dan ilmu, selain bertindak sebagai akhbar alternatif, yang belaporkan isu-isu yang disembunyikan faktanya oleh akhbar nasional lain.

Tiada ulasan: