Selasa, 28 Mei 2013

Samy Vellu : Jangan babitkan saya perebutan jawatan MIC

SINAR HARIAN

Sammy Vellu
Sammy Vellu
 
KUALA LUMPUR - Bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mengingatkan mereka yang mahu bertanding pada pemilihan parti agar tidak membabitkan beliau dalam perebutan itu.

"Jangan heret saya dalam 'peperangan' anda," katanya kepada Bernama di sini, sambil menambah beliau akan membuat pilihannya sendiri mengenai siapa harus meneraju parti itu apabila tiba masanya.

Katanya beliau juga akan turun berkempen bagi pihak yang dirasakannya layak memimpin parti itu.

Samy Vellu berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama hari ini yang menyebut kemungkinan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam menandingi jawatan tertinggi parti berusia 67 tahun itu.

Laporan itu juga menyebut presiden MIC yang paling lama berkhidmat berkenaan memberi lampu hijau kepada Dr Subramaniam untuk bertanding, selaras dengan perlembagaan parti yang demokratik.

Sementara itu, Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan menafikan ada berbincang dengan Palanivel dan Dr Subramaniam berhubung pemilihan parti.

"Setakat ini saya tidak mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak baik Dr Subramaniam mahupun Palanivel," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata sedia menimbang untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti jika diminta dan disokong perwakilan MIC. - Bernama

Tiada ulasan: