Khamis, 30 Mei 2013

DAP tuntut BN tunai janji bela nasib 100 keluarga miskin di Kampung Lembaga Padi

Roketkini.com



LIKAS: DAP Sabah menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membela 100 keluarga miskin yang dipinggirkan di Kampung Lembaga Padi, di sini.

Penolong Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong dalam kenyataannya berkata, penduduk di kampung itu perlu ditempatkan semula agar mereka mendapat kemudahan dan pembelaan wajar.

“Penduduk di sini sudah lama hidup dalam keadaan daif di sepanjang sungai tanpa bekalan elektrik dan air yang sempurna sejak tiga tahun lalu.

“Mereka hanya bergantung kepada air hujan. Ada yang terpaksa mencuri air untuk kegunaan harian kerana tidak mampu menanggung kos membeli air,” ujar beliau yang juga ADUN Likas.

Menurutnya, dalam satu sesi dialog bersama penduduk, hari ini, kemelut kemiskinan, penduduk di sini  juga berhadapan dengan risiko penyakit kerana keadaan sekitar yang kotor dan ancaman nyamuk.

“Ini adalah isu kemanusiaan. Kenapa pihak berkuasa meminggirkan 100 keluarga di sini sedangkan mereka telah memindahkan lebih 1,000 keluarga sebelum ini,” katanya.

Wong berkata, seorang wakil penduduk mengadu bahawa beliau dijanjikan oleh seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk dipindahkan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, janji itu hingga sekarang masih belum ditunaikan BN.-Roketkini.com

Tiada ulasan: