Rabu, 29 Mei 2013

Guru silat ditetak penyamun

NURUL HIDAYAH HAMID

Guru silat ditetak penyamun
Lakaran kejadian dua beranak diserang tiga penjenayah bersenjatakan parang.
 
Guru silat ditetak penyamun
Penduduk kampung menunjukkan lokasi mangsa ditetak di Kampung Gelam.
 
Guru silat ditetak penyamun
Keluarga mangsa sedang menunggu di wad kecemasan HSB.
 
ALOR SETAR - Seorang guru silat hampir putus tangan kanannya akibat ditetak ketika cuba menyelamatkan anaknya yang diserang tiga penyamun di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, awal pagi semalam.
 
Abdul Rahman Hashim, 51,  cedera parah manakala anaknya, Mohd Iqbal, 18, cedera ringan di tangan kiri dan kepala dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu.

Sebelum itu, Mohd Iqbal yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Anak Bukit terserempak dengan tiga lelaki yang dipercayai telah memecah masuk stor baja kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Pemuda itu segera menghubungi ayahnya namun sebelum sempat ayahnya sampai, Mohd Iqbal diserang.

Sepupu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, ketika kejadian penjenayah terbabit mungkin baru memecah masuk stor berkenaan.

“Semasa ayahnya datang selamatkan Iqbal, mereka bergelut. Penjenayah itu menyerang menggunakan senjata tajam, dipercayai parang,” katanya.

Katanya, Abdul Rahman yang cedera di tangan kanan dan kiri jatuh ke dalam tali air berdekatan lokasi kejadian, manakala Iqbal sempat melarikan diri ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian kepada ibunya.

Tiga lelaki terbabit bertindak melarikan diri, manakala kedua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kini, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Wan berkata, Iqbal tidak mengenali ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana keadaan persekitaran pada ketika itu agak gelap.

Mereka melarikan diri menaiki dua kereta dan mempunyai tiga parang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Farique Rizal Abdul Hamid, berkata, kedua-dua mangsa tiba di hospital kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, Abdul Rahman cedera di kedua belah tangan, pergelangan tangan kanannya hampir putus dan salur darah cedera teruk, manakala bahagian kirinya mengalami luka di tiga bahagian, termasuk tapak tangan dan anaknya cedera di jari dan kepala.

“Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin supaya tangan kanan Abdul Rahman dapat diselamatkan.

“Buat masa ini, mereka hanya boleh dilawat keluarga dan sahabat terdekat kerana mereka kemungkinan masih trauma,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 6.45 pagi semalam.

“Siasatan masih diteruskan, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja,” katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Tiada ulasan: