Jumaat, 28 September 2012

Terengganu kekal hukuman ke atas Peter Butler

ZUBIR SULAIMAN

Peter James Butler
Peter James Butler
 
[DIKEMAS KINI] KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini mengambil keputusan mengekalkan hukuman penggantungan dan denda terhadap pengendali skuad Penyu, Peter Butler setelah meneliti rayuan bertulis yang dikemukakan jurulatih itu Selasa lalu.

Pengerusinya, Mat Yusoff Mohamed berkata, jawatankuasa rayuan menolak rayuan itu setelah mendapati ia bukan sahaja tidak berasas, malah tanpa merit.

“Keputusan itu diambil setelah pihaknya meneliti rayuan yang dikemukakan oleh bekas jurulatih Kelantan itu dan mengambil kira nota daripada keputusan jawatankuasa disiplin yang bermesyuarat pada 18 September lalu.

“Kami mendapati keputusan awal yang dilakukan jawatankuasa disiplin adalah betul dan mengambil keputusan mengekalkan hukuman tersebut,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa rayuan yang diadakan di pejabat PBNST di sini, hari ini. Hadir sama Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh.

Dalam pada itu, Mat Yusoff turut menasihatkan Butler mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa tujuh hari bermula hari ini berhubung perkara itu.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan jurulatih kelahiran England itu tampil menyerahkan surat rayuan berhubung isu penggantungan yang didakwa turut membawa kemungkinan pembatalan kontraknya lebih awal.

Butler mengambil keputusan mengemukakan rayuan tersebut selepas mendapati tuduhan yang dilemparkan ke atasnya agak `kejam’, keterlaluan dan tidak boleh diterima serta mengharapkan PBSNT mengadilinya dengan berhemah serta profesional.

Sementara itu, Butler ketika ditemui nyata begitu kecewa dengan keputusan yang dibuat jawatankuasa rayuan itu berhubung isu yang membelenggu dirinya.

“Ya. Saya sangat kecewa. Tindakan ini sangat keterlaluan. Sudah beribu kali saya memberi kenyataan kepada media sebelum ini tapi tidak ada apa-apa tindakan pun.

“Saya bersikap telus dalam hal ini dan akan beritahu apa yang mereka (media) nak tahu tentang pasukan. Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan peguam saya terlebih dahulu sebelum membuat rayuan terus kepada FAM berhubung perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan: