Sabtu, 29 September 2012

Perkasa: Bajet 2013 BN lebih baik dari bajet PR


KUALA LUMPUR — Bajet 2013 yang dibentangkan Putrajaya hari ini adalah lebih baik daripada bajet alternatif yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat (PR), kata Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) hari ini.

Menurut ahli parlimen Pasir Mas itu, bajet ini adalah bajet “pukul habis” kepada PR kerana banyak manfaat yang diberikan kepada rakyat.

“Bajet ini lebih baik kerana tidak ada cukai baru, bahkan lebih banyak penurunan cukai, selain dari peningkatan pelaburan asing dan ekonomi yang lebih baik.

“Bajet ini jelas menenggelamkan bajet yang dibentangkan PR, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Razak atas bajet ini,” kata Ibrahim lagi.

Katanya, beliau tidak kisah bahawa ini adalah bajet untuk memenangi pilihan raya.
“Tidak ada salahnya untuk membuat bajet untuk memenangi pilihan raya.

“Memang tujuannya untuk memenangi pilihan raya, asalkan bajet itu memberi manfaat kepada rakyat, itu tidak menjadi masalah.

“Lagipun, pilihan raya berlangsung 4-5 tahun sekali, apa masalahnya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider melalui telefon selepas Bajet 2013 dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut Ibrahim lagi, bajet kali ini menyentuh semua kaum dan masyarakat, tetapi pembahagian kek ekonomi yang adil adalah fokus utama Perkasa.

“Kalau kita lihat, lebih banyak fokus diberikan terhadap Bumiputera, dan ini dapat membantu Bumiputera untuk mencapai kek ekonomi 30 peratus seperti yang disasarkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB).”
Menurut beliau, sebagai contohnya projek MRT yang berharga RM9 billion, di mana 43 peratus daripadanya dijalankan oleh syarikat bumiputera.

Najib juga memberikan RM250 bagi yang belum berkahwin dan berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM2,000, yang membentuk seramai 3 juta pengundi baru dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Putrajaya juga mengurangkan satu peratus cukai pendapatan bagi yang berpendapatan RM50,000 pendapatan bercukai setahun, menyediakan bantuan kecil kepada 1.2 juta pembayar cukai dalam negara yang mempunyai rakyat seramai 28 juta.

Kerajaan juga akan membelanjakan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit perumahan untuk mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000.

“Bagi saya, semua cadangan yang diberikan adalah untuk memberikan impak yang lebih baik untuk rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah,” kata Ibrahim lagi.

Tiada ulasan: