Jumaat, 28 September 2012

Perbicaraan PKFZ ditangguh kerana Liong Sik dimasukkan ke hospital


Bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dimasukkan hospital awal pagi ini. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Perbicaraan Tun Dr Ling Liong Sik yang melibatkan penipuan berbillion ringgit projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) telah ditangguh sehingga Isnin ini kerana Ling dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi ini.

Bekas menteri pengangkutan itu, telah dimasukkan ke hospital dua hari selepas mengadu mengalami kesakitan semasa perbicaraan dan keluar dari hospital semalam.

Bagaimanapun peguam Ling, Wong Kian Khiong berkata, anak guamnya jatuh sakit dan dihantar ke hospital pada jam 8 pagi tadi.

“Dia telah menerima rawatan untuk kandungan gula rendah dalam darah, penyakit jantung dan diabetis,” kata Wong kepada wartawan, merujuk kepada Dr Ling.

Hakim mahkamah tinggi, Hakim Datuk Ahmadi Junaidi menangguhkannya hingga Isnin ini.
Hakim juga memberitahu pihak defendan untuk memastikan Dr Ling perlu ada di mahkamah pada perbicaraannya.

Dr Ling, yang menjadi menteri pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003, dituduh menipu Kabinet kerana meluluskan pembelian tanah seluas 999.5 ekar untuk projek PKFZ, yang mengakibatkan kerugian kepada pihak kerajaan.

Projek tersebut yang pada mulanya bernilai RM1.1 billion yang dicadangkan oleh Dr Ling pada 1997, kemudian meningkat kepada RM4.6 billion pada 2007.

Laporan dari firma PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan pada tahun 2009 bahawa kos keseluruhan termasuk kadar faedah dari pembayaran hutang mungkin mencecah RM12.5 billion.

Sejak Disember 2009, enam individu telah didakwa ke mahkamah termasuk bekas presiden MCA itu, dan pengganti menteri pengangkutannya, bekas timbalan presiden Tan Sri Chan Kong Choy.

Keduanya didakwa menipu Kabinet.

Dr Ling juga menghadapi dua tuduhan lain iaitu menipu Kabinet dengan mengatakan pembelian yang berharga RM25 per kaki persegi tambah 7.5 peratus faedah, telah diketahui dan dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) walaupun mengetahui tidak ada perjanjian sedemikian.

Dia bakal menerima hukuman penjara selama tujuh tahun, atau denda, atau keduanya jika didapati bersalah atas kesalahan pertama dalam Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Hukuman lain pula ialah penjara lima tahun, atau denda, atau keduanya sekali.

Tiada ulasan: